Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyambut baik cadangan untuk meminda Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah dibentangkan di Parlimen pada minggu lalu. Kami menyeru agar Parlimen menyegerakan proses meluluskan pindaan ini supaya ia menjadi berkesan dari segi undang-undang.
Ini mesti diikuti oleh semua Kerajaan Negeri menerima pakai pindaan ini dengan segera, supaya ia diberi kesan undang-undang dan dikuatkuasakan dengan sewajarnya.
Beberapa daripada pindaan ini adalah apa yang badan bukan kerajaan (NGO) seperti SAM telah menyeru sejak bertahun-tahun. Antara pindaan paling ketara yang dicadangkan yang amat kami alu-alukan adalah seperti berikut:
- Pengenalan Seksyen 11 yang baru, menggantikan yang lama sehubungan dengan pengeluaran kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal (HSK).
Pindaan baru ini membenarkan pengeluaran sedemikian tertakluk kepada dua syarat yang signifikan.
Syarat pertama ialah sebelum mengeluarkan mana-mana kawasan tanah daripada sesuatu HSK, Pihak Berkuasa Negeri hendaklah menjalankan suatu siasatan awam mengikut cara sebagaimana yang ditetapkan oleh Negeri.
Ini adalah peruntukan yang penting, yang kini hanya wujud dalam Enakmen Perhutanan Negeri Selangor. Peruntukan sedemikian untuk siasatan awam sebelum sebarang pengeluaran HSK akan memastikan ketelusan, dan akauntabiliti di pihak Negeri dan penting untuk memastikan tadbir urus yang baik. Tanpa ketelusan ini, pembuatan keputusan mengenai pengeluaran kawasan tanah daripada HSK diselubungi kerahsiaan, menimbulkan kebimbangan termasuk kemungkinan konflik kepentingan. Jadi, ini adalah langkah yang amat dialu-alukan.
Walaubagaimanapun, apa yang penting adalah untuk memastikan bahawa proses siasatan awam ini dipandang serius oleh Pihak Berkuasa Negeri dan bukan menganggapnya sekadar suatu mekanisme token, tetapi yang bermakna dan berkesan, demi tadbir urus yang baik.
Syarat kedua ialah sekiranya Pihak Berkuasa Negeri berniat untuk mengeluarkan mana-mana kawasan tanah daripada sesuatu HSK, Pihak Berkuasa Negeri hendaklah mengenal pasti suatu kawasan tanah yang sama luas atau lebih besar untuk menggantikan kawasan tanah yang akan dikeluarkan itu sebagai suatu hutan simpanan kekal. Ini adalah penambahbaikan besar ke atas undang-undang semasa, yang kini memberikan terlalu banyak budi bicara kepada Pihak Berkuasa Negeri sama ada untuk menyediakan kawasan gantian atau tidak.
- Kami juga menyambut baik pindaan kepada Subseksyen 10(1) Akta dengan memasukkan “hutan taman negeri” sebagai tambahan dalam pengelasan HSK.
Dalam hal ini, SAM telah menyeru Pihak Berkuasa Negeri untuk mewartakan lebih banyak kawasan hutan di negeri masing-masing sebagai hutan yang dilindungi sepenuhnya, yang tidak boleh ditukar untuk guna tanah lain atau diganggu oleh aktiviti yang memusnahkan seperti penebangan hutan. Ini sepatutnya berlaku terutamanya di kawasan berkaitan dengan Central Forest Spine (CFS) dan koridor ekologi Heart of Borneo, yang mesti diwartakan sebagai hutan yang dilindungi sepenuhnya tanpa berlengah-lengah.
- Kami juga mengalu-alukan langkah untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan di bawah Akta. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa terdapat pencegahan yang mencukupi untuk melarang mana-mana pihak daripada melakukan kesalahan.
Pindaan ini tidak harus ditangguhkan, dan perlu berkuatkuasa secepat mungkin, supaya hutan kita dilindungi dengan berkesan, demi menjalankan semua fungsi ekosistemnya termasuk dalam perlindungan tanah, kawalan banjir, kelestarian sumber air dan dalam perlindungan biodiversiti.
Kenyataan Media, 7 Mac 2022