
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Perhutanan menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Paya Bakau Sungai Merbok, Kedah.
Tinjauan CAP di sepanjang Sungai Merbok mendapati kebanyakan sisa buangan yang dikesan di dua lokasi di Kampung Segantang Garam di sini ialah beg plastik dan botol minuman plastik.
CAP kesal masalah yang sudah berlarutan sejak empat tahun yang lalu itu gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak berkenaan walaupun perkara ini telah beberapa kali dikemukakan oleh CAP.

Di samping menjejaskan hutan paya bakau Sungai Merbok dan ekosistem sungai tersebut, CAP bimbang pencemaran sisa buangan plastik ini akan merebak ke laut berhampiran dan mencemarkan kawasan persisiran pantai, serta mengancam aktiviti dan mata pencarian beratus nelayan yang mencari rezeki di perairan ini.
CAP percaya, jika masalah ini dibiarkan berterusan kesan buruk ke atas alam sekitar di kawasan berkenaan dan sekelilingnya akan berlaku dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
CAP berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perhutanan Kedah menguatkuasakan undang-undang dengan tegas agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan dan tidak berulang.
Pemantauan lebih kerap dan berterusan perlu dilakukan PBT dan agensi berkenaan bagi memastikan keadaan Sungai Merbok dan hutan paya bakau di sini terselamat dari sebarang ancaman pencemaran.
PBT perlu menyediakan tong sampah yang mencukupi bagi kemudahan penduduk tempatan membuang bahan buangan mereka serta meletakkan lebih banyak papan tanda larangan membuang sampah di kawasan ini.
CAP mencadangkan kempen tentang bahaya plastik dan sisa dilaksanakan oleh pihak kerajaan dari masa ke semasa bagi memupuk kesedaran kalangan masyarakat tentang kesan buruk bahan buangan itu kepada alam sekitar dan kehidupan manusia.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 10 Ogos 2026

