Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera ke atas kilang haram yang beroperasi di Gurun sejak lebih setahun lalu.
CAP kesal kerana pihak berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk bertindak sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penduduk tempatan di sini akibat pencemaran yang berlaku.
Sehubungan itu, CAP meminta pihak terbabit mengambil tindakan segera dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada agar pencemaran alam sekitar di kawasan tersebut tidak berterusan.
Mengulas laporan akhbar Sinar Harian, 17 Februari 2021, CAP bimbang dengan kejadian ini kerana ia boleh menjejaskan kesihatan orang ramai jika masalah berkenaan tidak diberi perhatian serius dan diambil tindakan berkesan oleh pihak berwajib.
CAP turut meminta Kerajaan Negeri Kedah mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil ke atas pengusaha kilang yang terlibat bagi meredakan kebimbangan penduduk-penduduk yang terjejas berikutan masalah itu.
Hukuman yang setimpal perlu dikenakan ke atas pihak yang didapati bersalah dan operasi kilang terbabit hendaklah dihentikan segera.
Kenyataan Media, 17 Februari 2021