CAP KESAL SERANGAN BENA PERANG DI MADA MASIH BERTERUSAN

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjalankan kajian secara terperinci dan mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi masalah ancaman bena perang ke atas tanaman padi di kawasan ini.

CAP kesal walaupun masalah itu berlaku sejak lebih 20 tahun yang lalu namun ia gagal ditangani hingga sekarang menyebabkan petani-petani yang terlibat mengalami kemerosotan hasil padi dan sumber pendapatan yang teruk.

Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 9 Februari 2021 mengenai masalah ini CAP bimbang jika ancaman tersebut gagal ditangani dengan berkesan ia boleh menjejaskan ekonomi dan bekalan makanan negara pada masa akan datang.

Pada musim 2/2020 dari November tahun lepas hingga 3 Februari lalu sejumlah 725 hektar sawah padi di MADA Kedah dan Perlis diancam makhluk perosak ini dan 277 hektar dari jumlah tersebut telah musnah.

Antara kawasan-kawasan yang serius mengalami masalah ini ialah Wilayah IV Kota Sarang Semut, Wilayah II Jitra, Wilayah III Pendang dan Wilayah I di Perlis.

CAP percaya jika punca-punca kejadian ini gagal dikesan dan diambil tindakan dengan berkesan ia boleh merebak sekali gus menjejaskan kehidupan petani-petani di kawasan jelapang padi ini dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang.

Justeru CAP meminta supaya pihak MADA dan Jabatan Pertanian mengkaji beberapa perkara penting seperti penggunaan benih padi kurang berkualiti dan tidak mempunyai daya tahan dari ancaman serangga perosak serta penyakit, penggunaan racun makhluk perosak dan baja kimia, sistem tabur terus dan lain-lain faktor yang dilihat boleh menyumbang kepada berlakunya ancaman ini.

 

Kenyataan Media, 13 Februari 2021