Kejadian Ribuan Ikan Mati di Sungai Perai HASIL SIASATAN DAN KAJIAN PERLU DIDEDAHKAN SEGERA – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan mendedahkan segera hasil ujian sampel air dan ikan yang mati di Sungai Perai pada 9 Februari yang lalu.

Langkah sedemikian perlu dilakukan kerana kejadian tersebut amat serius dan menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ribuan ikan yang menjadi mangsa pencemaran ini merupakan sumber makanan mereka.

CAP kesal dengan kejadian itu dan meminta JAS menyiasat serta mengenal pasti punca sebenar masalah itu di samping mengambil tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas mereka yang didapati terlibat.

CAP percaya jika masalah ini berlarutan ia bukan saja boleh menyebabkan ikan di dalam sungai tersebut pupus dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan tetapi juga akan merebak ke laut berhampiran serta mengancam pembiakan kerang di kawasan itu.

CAP tidak mahu nasib Sungai Perai menjadi seperti Sungai Juru di mana ikan, udang dan kerang mati kerana diancam pencemaran sisa toksik dari kawasan perindustrian berhampiran.

Justeru adalah perlu bagi pihak berkuasa terbabit memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan menjadikan Sungai Perai sebagai lokasi tumpuan kerana ia terdedah dan mudah tercemar oleh berbagai bahan buangan berbahaya.

CAP juga meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan kilang-kilang industri yang terdapat di sepanjang sungai ini mematuhi segala peraturan yang termaktub di bawah undang-undang yang sedia ada.

Pada masa yang sama CAP menyokong cadangan Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar supaya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda bukan saja meningkatkan jumlah penalti maksimum dari RM500,000 kepada RM10 juta tetapi juga memberi lebih kuasa kepada agensi itu untuk bertindak di luar waktu pejabat.

CAP sebelum ini menerima banyak rungutan dari orang ramai bahawa terdapat kilang-kilang industri yang membuang sisa selepas waktu pejabat bagi mengelak dikesan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

 

Kenyataan Media, 11 Februari 2021