CAP Kesal Sisa Minyak Cemar Pantai Teluk Kalong

Nelayan tempatan menunjukkan sisa tompokan minyak memenuhi pantai Teluk Kalong. – NSTP/Rosli Ilham

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut segera menyiasat punca kejadian pencemaran sisa minyak yang berlaku di Pantai Teluk Kalong dekat Kemaman sejak 13 April 2026.

Mengulas laporan akhbar hari ini (Berita Harian, 16 April 2026), CAP kesal dan bimbang dengan kejadian tersebut kerana ia boleh merebak serta mengancam hidupan laut termasuk sumber pendapatan 30 nelayan kecil di kawasan berkenaan.

Akibat pencemaran sisa minyak itu puluhan hidupan laut seperti ketam, sotong dan ikan gerapoh bersaiz besar telah mati.

CAP meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan kejadian ini kepada umum serta laporan ujian ke atas sampel minyak, air laut dan bangkai ikan yang dibuat. Sebelum ini Pantai Teluk Kalong telah dicemari oleh sisa arang batu.

CAP berharap siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil ke atas pihak yang terlibat melakukan pencemaran ini agar tidak berulang pada masa akan datang. Pantai dan perairan di sini perlu dibersihkan dengan segera.

Jabatan Perikanan perlu membuat kajian dan penilaian ke atas kerugian yang dialami oleh nelayan tempatan akibat pencemaran tersebut. Mereka wajar diberi pampasan yang setimpal jika berlaku kemerosotan hasil tangkapan kesan dari kejadian ini.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 16 April 2026