CAP: Kuatkuasakan Peraturan Undang-undang Plumbum dengan Tegas

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Pegawai Penyelidik Kanan CAP, Hatijah Bivi Hashim pada Sidang Akhbar Kuatkuasakan Peraturan Undang-undang Plumbum dengan Tegas.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan peraturan undang-undang plumbum sedia ada dengan tegas dan pada masa yang sama mengisytiharkan undang-undang yang akan menghapuskan plumbum dalam cat.

Gesaan itu dibuat memandangkan ujian terbaharu kami yang dijalankan ke atas mainan, aksesori peribadi, kosmetik dan rempah ratus. Daripada 40 sampel yang diuji lebih daripada 20 sampel didapati mengandungi plumbum. Satu sampel kosmetik untuk mata didapati mengandungi plumbum hampir 1000 kali ganda melebihi paras yang dibenarkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf 20 – 26 Oktober 2024, sebagai Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW) untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan untuk menangani kesan kesihatan akibat pendedahan terhadap  plumbum, terutamanya kepada kanak-kanak, wanita hamil dan pekerja. Tema bagi 2024 ialah “Masa Depan yang Cerah bermula dengan Bebas Plumbum”.

Sempena dengan sambutan ini, CAP menghantar 40 sampel pelbagai produk dan rempah ke makmal bebas untuk menguji jumlah plumbum yang ada. Hasilnya adalah seperti berikut:

* Rempah: Sembilan daripada 25 sampel didapati mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan. Satu sampel serbuk cili didapati mengandungi lebih daripada lapan kali ganda paras plumbum yang dibenarkan. Jadual Keempat Belas (Peraturan 38) Peraturan Makanan 1985 hanya membenarkan 2 bps (bahagian per sejuta) terdapat dalam serbuk kari dan rempah ratus.

* Produk kosmetik: Empat daripada 8 sampel yang diuji didapati mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan. Daripada jumlah itu, 2 sampel kosmetik untuk mata didapati mengandungi paras plumbum yang sangat tinggi. Satu sampel mempunyai 196,996 bps dan satu lagi 125,688 bps plumbum. Garis Panduan bagi Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia hanya membenarkan 20 bps plumbum hadir dalam produk kosmetik.

* Aksesori: Semua 6 sampel aksesori (gelang dan pin rambut) yang diuji didapati mengandungi plumbum. Satu sampel gelang didapati mengandungi lebih daripada 300 bps plumbum.

* Mainan: Satu sampel kereta mainan juga didapati mengandungi plumbum.

Plumbum adalah toksik terkumpul yang menjejaskan pelbagai sistem tubuh. Ia amat berbahaya kepada kanak-kanak kecil dan wanita hamil, walau bagaimanapun, plumbum juga berbahaya kepada semua yang terdedah.

Sampel yang mengandungi plumbum.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “tidak ada paras pendedahan yang selamat kepada plumbum yang diketahui tanpa kesan berbahaya.” Kesan plumbum terhadap kesihatan amat disedari kerana ia menjejaskan sistem saraf, kardiovaskular, gastrousus dan hematologi.

Kanak-kanak kecil terutamanya amat terdedah kerana mereka mempunyai laluan unik yang boleh membawa kepada pendedahan yang lebih tinggi daripada orang dewasa. Selain itu, plumbum boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan pada otak yang sedang berkembang yang boleh bertahan sepanjang hayat kanak-kanak, seperti mengurangkan keupayaan intelek.

Apabila orang dewasa terdedah kepada jumlah plumbum tinggi, ia boleh meningkatkan masalah pembiakan, hipertensi dan mengurangkan fungsi imun. Plumbum juga merosakkan buah pinggang dan sistem saraf pusat.

Isu plumbum ini telah dikemukakan oleh CAP pada masa lalu kerana ujian terdahulu kami yang dijalankan ke atas kosmetik untuk mata dan susu formula bayi mengesan paras plumbum yang tinggi dalam sampel yang diuji.

CAP juga menggesa kerajaan untuk mengisytiharkan piawaian mandatori bagi plumbum dalam cat kerana ujian kami terhadap cat hiasan pada masa lalu juga mendapati tahap plumbum yang tinggi.

Walaupun terdapat kesedaran yang meluas terhadap kesan berbahaya plumbum dan tindakan di banyak negara, pendedahan kepada plumbum, terutamanya semasa zaman kanak-kanak, kekal menjadi kebimbangan utama kepada penyedia penjagaan kesihatan dan pegawai kesihatan awam di seluruh dunia.

Memandangkan bahayanya plumbum, CAP menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan dengan tegas undang-undang sedia ada mengenai plumbum dan pada masa yang sama mengisytiharkan undang-undang yang akan menghapuskan plumbum dalam cat.

Memandangkan penghapusan cat plumbum semakin meningkat di peringkat global, kerajaan Malaysia seharusnya menyegerakan untuk mengisytiharkan dan menguatkuasakan undang-undang untuk menghapuskan plumbum dalam cat.

Malaysia seharusnya tidak boleh berpuas hati. Memandangkan plumbum mempunyai kesan yang kuat dan memudaratkan kanak-kanak, tindakan segera perlu diambil untuk melindungi generasi masa depan kita.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 22 Oktober 2024