Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa ibu bapa supaya mengelakkan alat mainan plastik untuk anak-anak mereka kerana ia didapati mengandungi bahan kimia beracun yang dipanggil parafin berklorin.
Parafin berklorin, dikelaskan berdasarkan panjang rantai karbon, merupakan bahan kimia yang sangat toksik yang digunakan di dalam pelbagai jenis plastik, termasuk dalam alat mainan plastik kanak-kanak. Bukti menunjukkan ia boleh menyebabkan kerosakan pada hati dan buah pinggang, mengganggu sistem endokrin, menyebabkan kanser, merosakkan otak yang sedang berkembang, dan menimbulkan ancaman kepada kesihatan reproduktif.
Bukti juga menunjukkan parafin berklorin dibebaskan daripada plastik melalui kitaran hayatnya. Kanak-kanak boleh terdedah kepada bahan kimia dalam alat mainan melalui penyedutan habuk toksik, sentuhan kulit, dan pengambilan yang boleh sama ada melalui pendedahan kepada mulut atau dengan mengunyah.
Dalam kajian yang dijalankan oleh International Pollutants Elimination Network (IPEN) ke atas 31 sampel alat mainan plastik yang dikumpulkan dari 10 negara, termasuk Malaysia, didapati kedua-dua parafin berklorin rantai pendek (SCCP) dan parafin berklorin rantai sederhana (MCCP) ditemui dalam semua alat mainan yang diuji. Antara alat mainan yang diuji ialah kuda tiup, ayam menjerit, itik getah, anak patung, dan beruang plastik. Sampel ini dianalisis di makmal di Prague.
SCCP diharamkan secara global dan MCCP sedang dinilai bagi pengharaman global. Beberapa alat mainan yang diuji mengandungi paras SCCP yang tinggi dan oleh itu alat mainan plastik yang digunakan oleh kanak-kanak untuk bermain adalah sangat toksik sehingga boleh diklasifikasikan sebagai sisa berbahaya.
Kajian IPEN mendapati kepekatan parafin berklorin yang sangat tinggi dalam akat mainan kanak-kanak amat membimbangkan. Hasil ujikaji ini yang diterbitkan oleh IPEN pada Oktober 2023 menyerlahkan keperluan mendesak untuk mengawal selia bahan kimia ini secara global dan merentasi rangka kerja kawal selia.
Tiada alat mainan yang diuji oleh IPEN dilabelkan bagi kehadiran bahan kimia toksik yang diperlukan bagi kepentingan pelabelan dan kebolehkesanan sepanjang kitaran hayat plastik.
Parafin berklorin rantai pendek (SCCP) disenaraikan bagi dihapuskan di bawah Konvensyen Stockholm* pada 2017 kerana berterusan dan ketoksikannya. Bagaimanapun, Malaysia masih belum meratifikasi Konvensyen itu.
Ujian terbaharu yang dijalankan di Kanada mengesan kepekatan tinggi SCCP dan MCCP di dalam alat mainan dan peranti elektronik. Kehadiran SCCP dalam produk ini amat membimbangkan kerana bayi, kanak-kanak kecil dan kanak-kanak mudah terjejas kepada pendedahan daripada sumber itu. Walaupun produk yang diuji dibeli di Kanada, ia dikeluarkan untuk pasaran antarabangsa dan dengan itu boleh didapati di Malaysia.
Laporan terkini IPEN Are Your Children’s Toys Hazardous Waste? High Levels of Chlorinated Paraffins in Plastic Toys from Ten Countries yang diterbitkan dalam laporan Oktober 2023 menyerlahkan beberapa jurang dalam cara bahan kimia toksik dikawal pada masa ini:
- menyerlahkan kepentingan mengawal selia kelas bahan kimia untuk mengelakkan menggantikan satu bahan kimia toksik dengan yang lain (yang dipanggil “penggantian yang dikesali);
- menunjukkan kemudaratan dengan membenarkan pengecualian bagi penggunaan yang berterusan bahan kimia toksik; dan
- menunjukkan kepentingan ketelusan dan kebolehkesanan bahan kimia yang digunakan dalam plastik.
Berdasarkan kepada penemuan terbaharu itu, CAP menggesa larangan parafin berklorin sebagai kelas, memandangkan mereka semua mempunyai rasa kebimbangan yang sama. Kami juga menggesa kerajaan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Stockholm.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 12 Disember 2023
*Konvensyen Stockholm mengenai Pencemar Organik Berterusan (POP) ialah satu-satunya mekanisme global yang mengikat secara sah untuk menghapuskan bahan kimia paling berbahaya di dunia. Bahan kimia yang disenaraikan di bawah Konvensyen ini terbukti sangat toksik, berterusan, dan bio akumulatif sehingga menjadi kebimbangan global. Malaysia menjadi penandatangan pada 16 Mei 2002 tetapi masih belum meratifikasi Konvensyen itu.