Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengemukakan memorandum pada 6 Oktober 2026 kepada Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, serta ahli-ahli Lembaga Racun Makhluk Perosak, untuk menggesa kawalan perundangan ke atas racun perosak yang mengandungi PFAS.
Bahan Per- dan Polifluoroalkil (PFAS), yang sering dirujuk sebagai “Bahan Kimia Kekal”, merupakan bahan kimia tegar yang dicirikan oleh ikatan karbon-fluorin yang kuat. Ketahanan bahan ini dalam alam sekitar dan badan manusia telah dikaitkan dengan kesan toksik yang ketara. Kajian menunjukkan pendedahan kepada PFAS, termasuk yang ditemui dalam racun perosak tertentu, meningkatkan risiko kanser, mengganggu kesuburan dan sistem imun, serta meningkatkan kebarangkalian penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular. Bagi kanak-kanak, kesan buruk ini mengancam perkembangan dan kesihatan jangka panjang mereka, termasuk penindasan sistem imum (immunosuppression).
Lebih membimbangkan, di Malaysia, ketiadaan keperluan pelabelan yang telus bagi racun perosak yang mengandungi PFAS boleh membawa kepada penggunaan secara meluas dan sebahagian besarnya tidak terkawal. Kelemahan dalam perundangan ini menjejas hak pengguna untuk membuat pilihan bermaklumat, di samping merisikokan seluruh komuniti, sektor pertanian, dan ekosistem secara berterusan.
Sebagai pengganggu proses biologi, tahap kemudaratan yang disebabkan oleh racun perosak PFAS tidak berhenti pada kesihatan manusia sahaja. Racun perosak PFAS menjejaskan kesihatan dan kesuburan tanah kerana tegar serta terkumpul hingga ke tahap kepekatan yang berbahaya. Tanah yang terdedah ini digunakan untuk tanaman makanan berulang kali, sekali gus mewujudkan kitaran pencemaran berterusan yang menjejaskan hasil tani dan makanan.
Kajian terkini mendapati bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran di United Kingdom dan Kesatuan Eropah telah dicemari dengan racun perosak PFAS. Pengambilan produk makanan ini adalah berbahaya kepada manusia, dan sifat ketahanannya adalah membimbangkan memandangkan bahan kimia ini telah ditemui dalam cecair badan manusia pada tahap yang dapat dikesan.
International Pollutants Elimination Network (IPEN), yang mana CAP merupakan ahli aktif, secara berterusan mendesak bagi penghapusan PFAS secara global. Pendirian ini berdasarkan bukti saintifik yang semakin meningkat mengenai ketegaran bahan ini dalam alam sekitar serta risiko kesihatan yang teruk kepada komuniti di seluruh dunia. Semakan silang oleh CAP telah mendedahkan bahawa pada masa ini terdapat 14 bahan aktif PFAS yang merangkumi 62 nama dagangan racun perosak yang berdaftar di Malaysia.
Berdasarkan bukti saintifik yang semakin meningkat mengenai kemudaratan racun perosak PFAS kepada kesihatan manusia dan alam sekitar, CAP menggesa kerajaan Malaysia untuk mengenakan kawalan perundangan dengan segera ke atas penggunaannya. Ke arah pengurusan perosak yang mampan dan prihatin terhadap kesihatan, Malaysia mesti mengenal pasti dan mengetatkan kawalan ke atas PFAS dalam racun perosak bagi mengelakkan kemudaratan lanjut.
Kajian komprehensif dan pemantauan ke atas racun perosak PFAS amat diperlukan bagi menilai ketahanannya serta impaknya dalam konteks tempatan. Perkara yang sama pentingnya ialah pelaksanaan ketelusan penuh dalam pelabelan memandangkan pengguna mempunyai hak asasi untuk mengetahui bahan kimia yang mereka terdedah kepada.
Dengan bukti yang semakin meningkat mengenai kemudaratan yang disebabkan oleh racun perosak PFAS, langkah-langkah segera adalah penting diambil untuk melindungi kesihatan awam, memelihara alam sekitar, dan menjamin kesejahteraan generasi akan datang. Sektor pertanian sepatutnya beralih daripada racun perosak dan herbisid yang toksik dan mengguna pakai kaedah pengeluaran agroekologi yang lebih selamat.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Media, 8 Oktober 2026
Klik di sini untuk baca memorandum: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2026/10/CAP-Memorandum-2026_Regulate-PFAS-Pesticides.pdf


