Program Minggu Tindakan Hijau CAP 2026


Pada 3 Oktober 2026, CAP telah menganjurkan satu program di premis kami bersempena dengan Minggu Tindakan Hijau (Green Action Week) 2026. Tema bagi tahun ini ialah “Perkongsian Ilmu Herba”.
Peserta program mempelajari cara menggunakan herba yang biasa dugunakan di dalam kehidupan seharian serta cara menyediakan resipi yang lazat menggunakan herba semula jadi. Program ini memberi tumpuan kepada pemahaman mengenai herba dapur yang biasa digunakan, nilai tradisionalnya, serta pelbagai kegunaannya.
Program dimulakan oleh Saraswathi Devi Odian, Pegawai Pendidikan CAP, yang memperkenalkan sesi itu serta menjelaskan nilai dan kepentingan herba dalam kehidupan moden.
Herba-herba seperti daun kari, daun pandan, daun limau purut, daun ketumbar Jawa (culantro), serai, daun pudina, dan daun ketumbar telah diperkenalkan, manakala nilai serta kegunaan setiap satunya turut dijelaskan kepada peserta. Peserta digalakkan untuk menghidu aroma dan bauan herba-herba ini bagi merasai sendiri haruman semula jadi tumbuhan itu.


Sebagai maklumat tambahan, manfaat dan kegunaan halia, kunyit, dan bawang putih turut dikongsikan dengan peserta.
Peserta juga berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung mengenai penyediaan lima jenis minuman herba menggunakan bunga telang, bunga raya merah, serai, daun limau purut, daun pudina, dan daun kari.
Sebagai acara kemuncak Minggu Tindakan Hijau 2026, peserta berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung penghasilan sos daun ketumbar Jawa menggunakan badam, bawang merah, cili hijau, minyak bijan, dan garam mengikut cita rasa. Sos pudina turut disediakan menggunakan tomato, ulas bawang putih, halia, cili hijau, jus limau nipis, dan garam oleh Kumuthasshri Ponniah, Pegawai Penyelidik CAP.
Peserta menikmati rasa sos itu bersama-sama snek mereka semasa waktu rehat. Mereka juga dihidangkan dengan salad kacang kuda.
Kepentingan sesi Minggu Tindakan Hijau ini adalah untuk menghidupkan semula dan memelihara pengetahuan tradisional berharga yang diwarisi melalui budaya dan generasi kita. Adalah penting untuk terus mengamalkan dan berkongsi pengetahuan ini; jika tidak, tradisi-tradisi berharga ini mungkin lenyap daripada kehidupan kita buat selama-lamanya.
Sebagai bahagian akhir sesi itu, satu tinjauan bertajuk “Bentuk Masa Depan Tenaga Bersih Malaysia!” telah dijalankan. Tinjauan ini mengkaji bagaimana Malaysia boleh beralih daripada bahan api fosil seperti arang batu kepada sumber tenaga bersih seperti tenaga solar.
Tinjauan ini dikendalikan oleh Vatsala, seorang pelatih di CAP, dan peserta dijemput untuk melengkapkan borang itu yang hanya mengambil masa antara 5 hingga 10 minit.
Paket benih dan herba turut diagihkan kepada para peserta.



