Malaysia amat kaya dengan sumber air dengan sekitar 98% keperluan air kita datangnya dari sungai dan anak sungai. Malangnya, ramai individu dan entiti mengabaikan penjagaan sungai kita sehingga mengakibatkan masalah pencemaran yang teruk. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut tindakan segera daripada kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang alam sekitar sedia ada, mencegah aktiviti perindustrian berhampiran sungai, dan melaksanakan dasar yang menyasarkan pencemaran pada sumbernya.
Menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2023, daripada 672 sungai yang dipantau, 25 (4%) adalah tercemar, 161 (24%) sedikit tercemar, dan 486 (72%) menunjukkan kualiti air yang baik. Secara amnya, dinyatakan bahawa penurunan kualiti air sungai yang direkodkan pada 2023 adalah disebabkan oleh peningkatan beban pencemaran di sungai daripada punca tetap dan punca tidak tetap. Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan, sungai-sungai kita masih terus tercemar. Tumpuan perlu diberikan kepada perlindungan dan pemuliharaan agar ianya lebih murah dan lebih berkesan dalam jangka masa panjang, dan bukannya bergantung kepada projek pembersihan berterusan.
Baru-baru ini media melaporkan bahawa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyatakan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) akan menerajui Jawatankuasa Kerja untuk Mengenalpasti Bahan Cemar Baharu. Mesyuarat Majlis Air Negara juga telah bersetuju terhadap keperluan menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi meneliti ancaman pencemaran air di Malaysia dengan membabitkan semua pemegang taruh untuk memastikan masalah itu dapat ditangani segera.
Pembentukan jawatankuasa khusus untuk mengenal pasti bahan pencemar baharu dan membangunkan dasar untuk mengukuhkan pentadbiran yang berkaitan dengan bahan pencemar baharu dalam sumber air negara merupakan satu inisiatif yang dipuji. Walaupun memahami jenis bahan pencemar yang menjejaskan badan air kita adalah mustahak, menangani punca pencemaran adalah penting bagi perlindungan jangka panjang sungai-sungai kita. Oleh itu, pendekatan semasa mestilah dikembangkan untuk mengutamakan pencegahan, penguatkuasaan dan dasar yang lebih ketat bagi menangani pencemaran di sumbernya.
Isu pencemaran yang berterusan menyerlahkan lagi perancangan fizikal yang kritikal dan jurang penguatkuasaan. Walaupun peraturan alam sekitar wujud, ia hanya berkesan jika dikuatkuasakan dengan tegas. Tidak bertindak atau tindakan yang tertangguh daripada pihak berkuasa membenarkan pencemar meneruskan amalan berbahaya tanpa mempedulikan akibatnya.
Kira-kira 50 kes pencemaran sungai dilaporkan di Selangor pada tahun ini. Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, penguatkuasaan Enakmen LUAS yang dipinda yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat berjaya mengurangkan kes pencemaran air berbanding tahun 2023.[1] Enakmen LUAS 1999 (Pindaan 2020) termasuk hukuman penjara mandatori, menaikkan denda daripada maksimum RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan sehingga RM1 juta bagi pencemaran sumber air tidak berlesen. Enakmen LUAS juga memerlukan pesalah untuk menampung semua kos yang ditanggung oleh LUAS bagi pemulihan.
Sungai merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan air utama, dataran banjir, atau ekosistem kepelbagaian biologi dan dengan itu ia merupakan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS). Kawasan-kawasan ini penting untuk mengekalkan alam semula jadi dan mengekalkan sumber air bersih. Beban pencemaran, yang merujuk kepada kuantiti dan kepekatan bahan pencemar yang dimasukkan ke dalam badan air dalam tempoh tertentu, merupakan faktor kritikal dalam menentukan kesihatan sungai.
Dasar sungai juga memainkan peranan penting dalam menguruskan beban pencemaran sebagai penapis semula jadi untuk memerangkap mendapan dan bahan pencemar. Namun, aktiviti perindustrian termasuk operasi kilang masih ditempatkan berhampiran sungai. Lokasi yang dekat ini merupakan faktor risiko penting bagi pencemaran air sungai, kerana sisa yang tidak dirawat atau tidak dirawat dengan sempurna boleh dialirkan dengan mudah ke dalam sungai, merendahkan kualiti air dan membahayakan kesihatan manusia dan ekosistem.
Penebangan hutan merupakan satu lagi faktor kritikal yang menyumbang dengan ketara kepada pencemaran air sungai. Penyingkiran tumbuh-tumbuhan semula jadi menjejaskan kestabilan tanah, membawa kepada peningkatan hakisan dan air larian, yang membawa sedimen dan bahan berbahaya ke dalam sungai. Untuk melindungi sumber air kita, adalah penting untuk menghentikan penebangan hutan dan menggalakkan usaha penghutanan semula, memastikan penampan semula jadi ini kekal dalam keadaan yang baik untuk menapis bahan pencemar dan menstabilkan alam sekitar.
Untuk memerangi pencemaran sungai dengan lebih berkesan, adalah penting untuk melaksanakan perancangan dan pengezonan yang komprehensif. Pengezonan yang betul memastikan ekosistem sungai yang sensitif dilindungi daripada aktiviti perindustrian dan komersial yang boleh menyebabkan pencemaran. Perancangan kawasan yang sesuai bagi pelbagai jenis guna tanah boleh menghalang aktiviti berisiko tinggi daripada berlaku berhampiran sungai, mengurangkan kemungkinan bahan pencemar memasuki badan air kita. Pengezonan juga menyokong penubuhan zon penampan riparian, di mana tumbuh-tumbuhan semula jadi boleh membantu menapis air larian sebelum ia memasuki sungai, seterusnya melindungi kualiti air.
Menambah baik pengurusan sisa adalah penting untuk mengurangkan pencemaran. Pengurusan sisa yang berkesan memastikan sisa dikumpulkan, dirawat dan dilupuskan dengan betul. Dengan demikian, meminimumkan risiko bahan pencemar memasuki badan air. Tambahan pula, usaha pencegahan pencemaran, seperti menyekat penggunaan bahan kimia pertanian, boleh menangani isu di sumbernya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera untuk mengukuhkan lagi penguatkuasaan, menyemak dasar dan melaksanakan langkah pencegahan. Dengan menggabungkan usaha ini, kita boleh menjaga sungai kita dan memastikan air yang lebih bersih bagi generasi akan datang.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 19 September 2024
[1] Selangor affected 50 cases of water source pollution. 2024, July 28
https://wilayah.com.my/selangor-affected-50-cases-of-water-source-pollution/