Kalis Api Berbromin: Selamat atau Berbahaya?

Apakah itu Kalis Api Berbromin (BFR)?

Kalis api berbromin (brominated flame retardants – BFR) adalah bahan kimia yang digunakan untuk mengurangkan bahan dari mudah terbakar dengan mengganggu proses pembakaran. BFR digunakan secara meluas dalam produk plastik dan busa sejak lama, termasuk dalam upholsteri perabot, tempat duduk kereta dan plastik, elektronik, dan penebat bangunan.

BFR adalah subkelas daripada lebih 175 jenis bahan kimia kalis api yang biasa digunakan di pasaran dunia. Kalis api berbromin yang biasa termasuklah Eter Diphenil Polibromin (PBDE), tetrabromobisfenol A (TBBPA), dan heksabromosiklododekan (HBCD).

Penggunaan bahan kalis api telah meningkat dalam dua dekad terakhir dengan peningkatan penggunaan plastik dan polimer dalam elektronik dan pembinaan. PBDE dan bahan kalis api berbromin yang lain sering digunakan dalam pelbagai kegunaan, termasuk dalam penutup plastic televisyen, komputer, telefon bimbit, dan peralatan pengguna kecil lain seperti pemanggang roti dan pengering rambut. Ia juga digunakan dalam wayar, kabel, dan papan litar bercetak.

Pengeluaran dan penggunaan besar-besaran BFR pertama kali didorong oleh permintaan daripada industry perabot pada tahun 1970-an, sebagai tindak balas terhadap kebakaran yang kerap berpunca daripada rokok di katil, sofa, dan perabot lain. Penyelesaian ini member tumpuan kepada bahan kimia kalis api, bukannya langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan kebakaran daripada rokok, dan membawa kepada perkembangan piawaian keselamatan kebakaran yang berkaitan, yang sering diwajibkan oleh kerajaan. Industri kimia mempromosikan pendekatan ini, seterusnya membawa kepada jualan besar-besaran bahan kimia kalis api mereka, walaupun kajian menunjukkan bahawa bahan kimia kalis api yang ditambah pada perabot hanya memberikan perlindungan kebakaran yang sedikit atau tiada langsung tetapi mendedahkan pengguna kepada dos harian bahan kimia berbahaya.

Orang ramai boleh bersentuhan dengan bahan kalis api melalui pelbagai cara. Bahan kimia ini boleh melarut resap daripada produk ke udara dan kemudian melekat pada habuk, makanan, dan air, yang boleh dimakan. Kanak-kanak kecil yang merangkak dan bermain di lantai khususnya berisiko tinggi akibat tingkah laku biasa mereka yang suka memasukkan tangan ke dalam mulut.

Bukti saintifik selama lebih daripada dua dekad menunjukkan hubungan antara pendedahan kepada BFR dan pelbagai kebimbangan kesihatan manusia, termasuk gangguan endokrin dan tiroid, imunotoksik, ketoksikan pembiakan, kanser, dan kesan buruk terhadap perkembangan janin dan tingkah laku kanak-kanak.

Sesetengah bahan kimia kalis api adalah antara bahan kimia paling toksik yang diketahui dan telah diharamkan di seluruh dunia, tetapi bahan kimia pengganti selalunya mungkin sama berbahaya. Bahan kimia gantian ini tidak dikawal bukan kerana iaselamattetapi kerana biasanya terdapat sedikit atau tiada data bahaya pada bahan pengganti beracun ini atau dikenali sebagai bahan pengganti “dikesali”.

Kajian IPEN Mengenai BFR dalam Produk Pengguna

International Pollutants Elimination Network (IPEN) telah menjalankan dua kajian mengenai BFR dalam produk pengguna yang diperbuat daripada plastik sisa elektronik (e-sisa) kitar semula di China, Indonesia, Rusia dan juga di 11 negara Arab dan Afrika iaitu Burkina Faso, Cameroon, Mesir, Ethiopia, Gabon, Jordan, Kenya, Maghribi, Syria, Tanzania, dan Tunisia.

Kajian itu bertujuan untuk menentukan sama ada penggunaan bahan kitar semula e-sisa dalam mainan plastic kanak-kanak, aksesori rambut, bekalan pejabat dan peralatan dapur yang dijual di pasaran China, Indonesia, Rusia, negara-negara di Afrika dan Arab mengandungi BFR. Objektif kajian ini adalah untuk menilai sama ada bahan kalis api berbromin yang terdapat dalam e-sisa termasuk ke dalam produk pengguna baharu dalam pasaran hasil daripada kitar semula plastik.

Sepanjang Oktober-Disember 2020, 455 sampel produk pengguna yang diperbuat daripada plastik kitar semula (plastik “hitam”), dibeli di pasaran dan kedai di China, Indonesia dan Rusia. Barangan plastik hitam dipilih kerana sarung elektronik biasanya berwarna hitam, menghasilkan plastic hitam apabila dikitar semula. Produk seperti mainan dan produk pengguna biasa lain yang tidak perlu memenuhi mana-mana piawaian kebakaran dipilih dengan sengaja, supaya boleh diandaikan bahawa mana-mana BFR yang hadir tidak ditambahkan pada produk, sebaliknya ianya akibat daripada kitar semula plastik yang mengandungi BFR.

Mainan kanak-kanak, aksesori rambut, peralatan dapur dan bekalan pejabat menjadi tarikan utama, kerana ia digunakan oleh kanak-kanak dan wanita dalam usia reproduktif, yang sangat sensitif terhadap pendedahan BFR. Mainan sering bersentuhan dengan mulut kanak-kanak, peralatan dapur bersentuhan dengan makanan, dan aksesori rambut serta peralatan pejabat bersentuhan dengan kulit wanita.

Dalam kajian dari China, Indonesia, dan Rusia, 73 daripada 455 sampel dihantar untuk ujian makmal bagi bahan kalis api, dan semua sampel disahkan positif mengandungi satu atau lebih BFR yang diharamkan di peringkat global. Dalam kajian dari negara-negara Afrika dan Arab, 83 sampel dihantar untuk ujian makmal, dengan 80 daripadanya disahkan positif mengandungi BFR yang diharamkan.

Data menunjukkan bahawa beberapa produk kanak-kanak dan produk pengguna yang diperoleh di negara-negara Afrika dan Arab mengandungi tahap dioksin bromin pada skala yang biasanya ditemui dalam pelbagai sisa berbahaya, termasuk dalam proses insinerasi sisa.

Beberapa tahap keseluruhan PBDE tertinggi dikesan dalam kereta mainan dari Jordan, dalam cawan untuk alat tulis pen dan pensil (peralatan pejabat) dari Tanzania, dan penghias rambut (aksesori rambut) dari Maghribi.

Penemuan mainan kanak-kanak yang tercemar dengan PBDE amat membimbangkan, kerana tubuh dan otak kanak-kanak yang sedang berkembang mungkin terdedah kepada kesan toksik BFR. Perkembangan dan gangguan endokrin adalah antara sifat PBDE yang member kesan buruk kepada kanak-kanak (Costa dan Giordano 2007). Pendedahan PBDE semasa perkembangan prenatal dan kelahiran dikaitkan dengan kawalan perhatian yang lebih lemah dalam kalangan kanak-kanak, hiperaktif, dan masalah tingkah laku.

Aksesori kecantikan rambut, peralatan dapur, dan juga peralatan pejabat lazimnya digunakan oleh wanita. Pendedahan kepada BFR sangat kritikal semasa kehamilan kerana PBDE dan TBBPA boleh menembusi plasenta terus ke janin yang sedang berkembang (Mitro, Johnson et al. 2015) dan telah dikesan dalam susu ibu (Tang dan Zhai 2017).

Cegah Penggunaan BFR

Bagi mencapai ekonomi kitaran tanpa toksik, adalah penting untuk menerapkan pendekatan berasaskan kelas yang menghalang penggunaan bahan gentian beracun kepada BFR yang diharamkan, yang berpotensi sama berbahaya, walau pun belum dikawal selia. Pendekatan berasaskan kelas untuk menghapuskan semua BFR secara berperingkat adalah satu-satunya tindak balas yang mencukupi untuk mengelakkan kemudaratan selanjutnya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Rujukan:

Blake, A. (2004, September). Health and Environmental Hazards of PBDEs and other BFRs | IPEN (International Pollutants Elimination Network).
https://ipen.org/documents/health-and-environmental-hazards-pbdes-and-other-bfrs

Costa, L. G. and G. Giordano (2007). “Developmental neurotoxicity of polybrominated diphenyl ether (PBDE) flame retardants.” Neurotoxicology 28(6): 1047-1067.

Mitro, S. D., T. Johnson and A. R. Zota (2015). “Cumulative Chemical Exposures During Pregnancy and Early Development.” Curr Environ Health Rep 2(4): 367-378.

Petrlik, J., Beeler, B., Straková , J. (2022, May). Hazardous chemicals in plastic products | IPEN.Arnika.
https://ipen.org/documents/hazardous-chemicals-plastic-products

Straková , J., Grechko, V., Brosché , S., Karlsson, T., &Buonsante, V. (2022, February). Brominated Flame Retardants in Plastic Products from China, Indonesia, and Russia | IPEN. Arnika.
https://ipen.org/documents/brominated-flame-retardants-plastic-products-china-indonesia-and-russia

Tang, J. and J. X. Zhai (2017). “Distribution of polybrominated diphenyl ethers in breast milk, cord blood and placentas: a systematic review.” Environ Sci Pollut Res Int 24(27): 21548-21573.