CAP: Pencemaran Sungai Juru Menjejas Nelayan dan Penternak Kerang

Rumpai hanyut terapung di permukaan Sungai Juru.
Sisa buangan plastik yang mencemarkan Sungai Juru.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Juru di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang semakin serius berlaku ketika ini.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati kejadian yang berpunca dari rumpai hanyut dan sisa buangan plastik dari Sungai Rambai di kawasan tersebut telah dibawa arus ke Sungai Juru dan laut berhampiran menyebabkan nelayan dan penternak kerang di Kampung Kuala Juru terjejas aktiviti harian mereka.

Ketua Nelayan Kampung Kuala Juru, Wahid Othman, 57, berkata masalah yang berlarutan sejak lima tahun yang lalu itu telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil. Menurutnya, selain pukat nelayan rosak dirempuh rumpai hanyut dan sampah sarap, pembesaran kerang yang diternak juga terbantut dan menjejaskan sumber pendapatan para penternak yang terlibat.

Wahid Othman
Helmi Ibrahim

Seorang penternak kerang, Helmi Ibrahim, 45, memberitahu, jika pencemaran rumpai hanyut dan sampah sarap ini masih berlaku dan tidak ditangani segera kemungkinan lebih besar kerugian akan di alami. Beliau bimbang kerang yang diternak boleh mati jika rumpai dan sisa plastik mendap di kawasan ternakan kerang mereka.

Rumpai hanyut tersangkut di jeti nelayan Kuala Juru.

CAP kesal dengan kejadian ini dan jika tindakan segera tidak diambil para nelayan dan penternak kerang di kampung berkenaan akan terjejas sumber pendapatan mereka dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang. Justeru, CAP meminta kerajaan negeri, MBSP, JAS dan JPS turun padang melihat secara dekat kejadian ini dan mengambil tindakan tegas terhadap punca berlakunya masalah itu.

Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas pihak yang dikenal pasti menjadi punca kejadian tersebut. JAS dan MBSP perlu membuat pemantauan secara berterusan agar masalah ini tidak berulang. CAP juga berharap pihak kerajaan menyalurkan bantuan atau pampasan kepada nelayan dan penternak kerang yang mengalami kemerosotan hasil pendapatan akibat masalah ini.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 14 April 2025