CAP: Percepatkan penggubalan undang-undang untuk menyingkirkan plumbum dalam cat

Tiga puluh tahun lepas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang untuk menyingkirkan plumbum dalam cat. Sehingga hari ini, kita masih mendapati plumbum dalam cat.

Pada 1992, kami mendapati tujuh daripada sembilan cat enamel yang diuji mengandungi plumbum melebihi 600 bahagian per sejuta (bps). Jumlah plumbum tertinggi dalam kajian ialah 11,700bps.

Pada 2016, sejumlah 39 sampel cat enamel hiasan dianalisis untuk kandungan plumbum. Enam belas (16) sampel mengandungi sejumlah kepekatan plumbum melebihi 600bps. Daripada ini, 12 sampel mengandungi kepekatan plumbum yang amat tinggi melebihi 10,000 bps. Kepekatan plumbum tertinggi yang dikesan ialah 150,000bps. CAP kemudiannya membuat gesaan yang sama kepada kerajaan bagi menetapkan standard untuk plumbum dalam cat kerana kami mendapati lebih daripada 60% daripada sampel yang diuji mengandungi paras plumbum yang sangat tinggi.

Pada 2020, kami menguji cat semburan, di mana sembilan daripada 48 sampel didapati mengandungi paras plumbum melebihi 90bps termasuk dua sampel dengan paras plumbum lebih besar daripada 10,000bps.

Cat mengandungi paras plumbum yang tinggi apabila pengeluar cat dengan sengaja menambah satu atau lebih sebatian plumbum ke dalam cat untuk tujuan tertentu. Produk cat mungkin juga mengandungi sejumlah plumbum apabila ramuan cat tercemar dengan plumbum yang digunakan atau apabila terdapat pencemaran silang daripada barisan produk lain dalam kilang yang sama.

Plumbum adalah toksik kumulatif yang boleh menjejaskan sistem tubuh. Ia amat berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak, wanita hamil dan semua yang terdedah kepadanya.

Plumbum berbahaya pada semua peringkat pendedahan, oleh itu tiada paras pendedahan kepada plumbum yang diketahui tanpa kesan berbahaya. Kanak-kanak khususnya yang berusia enam tahun dan ke bawah terutamanya mudah terjejas kepada pendedahan plumbum. Sebaik sahaja plumbum memasuki tubuh kanak-kanak melalui proses menelan, penyedutan atau melalui uri, ia berpotensi untuk merosakkan beberapa sistem dan laluan biologi.

Malah paras pendedahan yang secara relatifnya rendah juga boleh menyebabkan kerosakan neurologi yang serius dan tidak dapat dipulihkan. Apabila kanak-kanak terdedah kepada plumbum, bahaya terhadap sistem saraf mereka menjadikan mereka lebih cenderung mengalami kesukaran pembelajaran di sekolah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyatakan sejak menghentikan penggunaan secara berperingkat petrol berplumbum, cat berplumbum menjadi salah satu sumber terbesar pendedahan plumbum kepada kanak-kanak.  Oleh itu, langkah-langkah segera perlu diambil untuk mengurangkan sumber kritikal pendedahan plumbum kepada anak-anak, terutama plumbum dalam cat.

Kesan kesihatan daripada pendedahan plumbum ke atas otak kanak-kanak adalah sepanjang hayat, tidak dapat dipulihkan dan tidak dapat dirawat. Plumbum juga memasuki saluran gastrousus apabila kanak-kanak cenderung untuk menghisap jari dan memasukkan sesuatu benda ke dalam mulut mereka, mengunyah objek seperti alat permainan, perabot isirumah atau bahan bercat dengan cat berplumbum lain.

Plumbum amat berbahaya terutama sekali kepada otak kanak-kanak yang sedang berkembang dan boleh menyebabkan pengurangan tahap kecerdasan (IQ) dan jangka masa perhatian, menjejaskan kemampuan belajar, dan meningkatkan risiko masalah tingkah laku. Kesan kesihatan ini juga memberikan kesan kepada ekonomi yang ketara kepada negara.

Pada masa ini masih tidak terdapat peraturan di Malaysia yang mengehadkan jumlah plumbum dalam cat bagi isirumah dan penggunaan hiasan.

Sehingga 31 Disember 2020, 79 negara mempunyai kawalan yang mengikat secara sah di sisi undang-undang yang digunakan untuk mengehadkan pengeluaran, import dan jualan cat berplumbum, manakala 26 yang lain berada di peringkat awal atau peringkat akhir menggubal undang-undang. China, Colombia, Lebanon dan Vietnam menggubal undang-undang cat berplumbum yang baharu atau yang ditambah baik pada 2020.

Baru-baru ini, negara seperti Georgia, Peru dan Ukraine menerima pakai peraturan yang menetapkan had 90bps plumbum dalam cat. Sebagai tambahan kepada ini, beberapa negara lain sedang dalam pelbagai peringkat menggubal peraturan cat berplumbum dengan dibantu oleh projek SAICM GEF mengenai plumbum dalam cat yang sedang berjalan. International Pollutants Elimination Network (IPEN) dan CAP adalah rakan pelaksana di bawah projek ini.

Kerajaan Malaysia kini telah mula menggubal standard plumbum dalam cat dan menguatkuasakan undang-undang. Ini adalah satu langkah untuk menuju ke hadapan memandangkan tanpa langkah pengawalseliaan Malaysia akan menjadi tapak buangan bagi produk yang mengandungi kandungan plumbum yang tinggi yang ditolak oleh negara lain.

Sementara undang-undang dan standard digubal, kami menggesa pihak berkuasa menguji dan mengharamkan produk termasuk cat yang didapati mengandungi paras plumbum yang tinggi. Kempen pendidikan untuk mewujudkan kesedaran berhubung kesan kesihatan daripada pendedahan kepada plumbum dan langkah untuk mencegah kanak-kanak daripada terdedah kepada plumbum perlu disegerakan.

Memandangkan plumbum mempunyai kesan yang teruk ke atas kanak-kanak, Kerajaan Malaysia perlu mempercepatkan usaha untuk menghapuskan penggunaan plumbum dalam cat, demi untuk kebaikan anak-anak dan generasi masa depan kita.

 

Surat Kepada Pengarang, 27 Mei 2021