Kejayaan Bersejarah: Hakim memaksa Shell mengurangkan secara drastik pelepasan karbon dioksida

….

Sahabat Alam menang kes iklim terhadap Shell

Buat pertama kali dalam sejarah, hakim memutuskan suatu perbadanan/korporat bertanggungjawab kerana menyebabkan perubahan iklim yang berbahaya. Hasil tindakan undang-undang yang dibawa oleh Friends of the Earth Netherlands (Milieudefensie) serta 17,000 plaintif bersama dan enam pertubuhan lain1, mahkamah di The Hague memutuskan bahawa Shell mestilah mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sehingga 45% dalam tempoh 10 tahun. Keputusan penghakiman bersejarah ini mempunyai kesan besar bagi Shell dan pencemar utama lain dunia.

Donald Pols, Pengarah Friends of the Earth Netherlands: “Ini adalah kemenangan bersejarah untuk planet kita, untuk anak-anak kita dan masa hadapan. Hakim tidak meninggalkan ruang bagi keraguan lagi: Shell menyebabkan perubahan iklim berbahaya dan mesti menghentikan tingkah laku yang memusnahkan itu sekarang.”

Meenakshi Raman, Presiden Sahabat Alam Malaysia mengulas: “Kejayaan kes  iklim Shell di Netherlands sangat penting bagi seluruh dunia, dalam usaha kami untuk mendapatkan keadilan iklim dan akauntabiliti korporat. Ia adalah satu pengajaran bagi semua korporat besar yang melakukan pencemaran yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global.”

Roger Cox, peguam bagi Friends of the Earth Netherlands juga gembira: “Ini adalah satu titik perubahan dalam sejarah. Kes ini amat unik kerana adalah pertama kali hakim mengarahkan syarikat pencemar terbesar supaya mematuhi Perjanjian Iklim Paris. Perintah ini juga mempunyai kesan besar bagi pencemar besar lain.”

Perintah daripada mahkamah di The Hague akan mempunyai kesan besar di peringkat antarabangsa, Sara Shaw daripada Friends of the Earth International berkata: “Ini adalah kemenangan yang menjadi mercu tanda bagi keadilan iklim. Harapan kami ialah keputusan penghakiman ini akan mencetuskan gelombang litigasi iklim terhadap pencemar besar, untuk memaksa mereka supaya menghentikan pengeluaran dan pembakaran bahan api fosil. Hasil ini adalah kejayaan bagi komuniti di dunia Selatan yang berdepan kesan perubahan iklim yang dahsyat pada masa kini.”

Perkara utama yang diputuskan dalam penghakiman:

  1. Royal Dutch Shell mestilah mengurangkan pelepasannya sehingga 45% bersih menjelang akhir 2030.
  2. Shell juga bertanggungjawab bagi pelepasan daripada pelanggan (skop 3) dan pembekal.
  3. Terdapat ancaman pelanggaran hak asasi manusia terhadap ‘hak untuk hidup’ dan ‘kehidupan keluarga yang tidak terganggu’.
  4. Shell mestilah mematuhi keputusan penghakiman dengan segera kerana dasar iklim semasa Shell tidak cukup kukuh.

Donald Pols merumuskan: “Keputusan penghakiman ini satu langkah besar ke hadapan pergerakan iklim antarabangsa. Salah satu pencemar terbesar dunia akhirnya dipertanggungjawabkan. Saya penuh dengan harapan untuk masa depan, sepertimana yang kita ketahui bahawa krisis perubahan iklim tidak menunggu dan tidak berhenti di sempadan kita. Itulah sebabnya adalah amat penting hakim kini memaksa Shell supaya bertanggungjawab terhadap tindakannya. Ini juga satu isyarat yang jelas kepada pencemar besar lain supaya mereka juga bertindak sekarang.”

Nota kepada editor:  

  1. Plaintif bersama adalah: Action Aid Netherlands, Both ENDS, Fossil Free Netherlands, Greenpeace Netherlands, Young Friends of The Earth Netherlands dan Wadden Sea Association (Waddenvereniging) dan lebih daripada 17,000 warganegara Belanda.

Keputusan penuh (dalam Bahasa Inggeris) boleh diakses di https://uitspraken.rechtspraak.nl/inziendocument?id=ECLI:NL:RBDHA:2021:5339

Maklumat lain

Foto, bahan video dan temu bual dengan Pengarah Donalds Pols dan Peguam Roger Cox boleh diperolehi melalui permintaan di: persvoorlichting@milieudefensie.nl atau +31 (0)20 5507 333 / (0)6-46851137

Bahan akhbar dalam talian dengan perkembangan terkini:

BAHASA INGGERIS: https://en.milieudefensie.nl/news/press-kit-climate-case-against-shell

Jurucakap

Pegawai akhbar Milieudefensie/Friends of the Earth Netherlands

Arjan de Boer: +31 (0)6 22398887

Jasperine Schupp: +31 (0)6 29593873

Benjamin van Sterkenburg: +31 (0)6 52682416

 

Jurucakap Antarabangsa:

Sara Shaw, Friends of the Earth International  +44 (0)7974 008 270 (Sehingga akhir 27 Mei 2021)
Sam Cossar,  +61 413 496 570 (Daripada 28 Mei 2021)

Emel: press[at]foei.org

 

Siaran Akhbar, 27 Mei 2021