CAP: Perkenalkan Akta Halal Haram

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkenaan memperkenalkan Akta Halal Haram. Akta ini akan membantu untuk memastikan pengeluar bertindak lebih bertanggungjawab dalam melabelkan produk makanan sebagai Halal. Pada masa ini beban membuktikan status produk Halal terletak kepada pengguna.

Sejak lebih 30 tahun CAP menggesa supaya diperkenalkan Akta Halal Haram. Terdapat beberapa pertemuan yang dihadiri oleh CAP berhubung isu ini tetapi sehingga ke tarikh ini tidak banyak kemajuan dicapai berhubung perkara ini. Penggubalan undang-undang dan membuat dasar telah dipinggirkan oleh pihak berkuasa sejak bertahun-tahun.

Kes berkaitan penyalahgunaan logo Halal sering dilaporkan dan paling teruk berhubung perkara itu muncul pada Disember 2020. Negara dikejutkan apabila dilaporkan terdapat kartel yang didakwa merasuah pegawai kastam untuk mengimport dan menjual daging yang tidak disembelih menurut kaedah Islam atau diperolehi daripada pemegang taruh yang tidak diluluskan.

Kartel ini mengimport daging beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina dan kemudiannya membungkus semula di Johor. Sesetengah daging beku tersebut,  termasuklah daging kuda dan kanggaru, yang kemudiannya dicampur dan dijual sebagai daging Halal. Keadaan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna Islam yang berkata ini adalah satu pencabulan kepada agama Islam.

Media juga melaporkan tentang individu yang mengendalikan kartel daging itu telah memberi rasuah kepada pegawai kanan kerajaan untuk membawa masuk daging yang tidak disahkan ke Malaysia dan melepaskannya sebagai produk yang disahkan sebagai Halal. Adalah difahamkan bahawa kartel ini mengimport daging daripada rumah sembelihan yang disahkan tidak Halal dari beberapa negara dan telah beroperasi lebih 40 tahun.

Terdapat dakwaan bahawa ahli kartel ini membayar pegawai daripada Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Laporan ini pada awalnya ditepis oleh menteri yang bertanggungjawab tetapi kemarahan orang ramai telah membawa kepada penangkapan dua pengarah syarikat yang berpangkalan di Johor oleh pihak polis.

Isu ini menyentuh mengenai dua aspek, pertama ialah mengenai status Halal dan kedua mengenai rasuah, yang menimbulkan persoalan lebih besar mengenai keselamatan negara.

Berdasarkan kepada situasi di atas, kini tiba masanya untuk kerajaan memperkenalkan Akta Halal Haram dan pada masa yang sama meminda Akta yang sedia ada yang menyentuh mengenai isu Halal Haram.

Akta ini akan mewujudkan permintaan bagi produk Halal Malaysia, yang mana selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia salah satu pengeluar terbesar produk Halal di dunia.

Sementara itu, undang-undang yang sedia ada perlu dipinda supaya dapat memberikan kefahaman yang lebih baik mengenai penggunaan perkataan Haram sama ada dalam makanan atau produk. Contohnya di bawah Akta Makanan, undang-undang mengenai pelabelan makanan perlu dipinda agar dapat memastikan ramuan Haram dinyatakan pada label. Jika bahan tersebut boleh diperolehi daripada beberapa sumber maka, pengeluar perlu dikehendaki untuk menyatakan daripada sumber manakah ia diperolehi. Ini akan membantu pengguna Islam untuk mengelakkan sebarang makanan dan produk yang mengandungi bahan yang meragukan atau Haram.

Akta ini akan memberikan lebih kuasa kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan penyeliaan yang lebih ketat dan penguatkuasaan ke atas rantaian bekalan Halal.

Di samping Akta itu, CAP juga menggesa pihak berkuasa supaya:

  • Menambah baik proses pensijilan Halal
  • Menyemak semula prosedur perolehan makanan berikutan pendedahan mengenai skandal kartel daging
  • Menyemak semula sistem bagi semua agensi penguatkuasaan dan perkembangan ternakan
  • Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani skandal kartel daging. Semua yang terlibat dalam memperdayakan orang ramai, termasuk kakitangan kerajaan dan pengarah syarikat, perlu didakwa dan dihukum dengan lebih berat.

Surat Kepada Pengarang, 16 Mac 2022

 

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/