Jangan pandang remeh kesan aktiviti korek pasir di Sungai Kulim – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah memberi perhatian serius terhadap masalah yang disuarakan oleh penduduk tiga buah kampung di Mukim Keladi daerah Kulim berikutan aktiviti mengorek pasir sungai di kawasan tersebut.

Walau pun projek itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) namun perkara ini tidak harus dipandang remeh oleh kerajaan negeri kerana ia melibatkan masalah alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

Antara kampung-kampung yang terjejas ialah Kampung Tok Rasul, Kampung Sungai Badak dan Kampung Dusun.

Baru-baru ini akhbar tempatan (Berita Harian: 14 Mac 2022) melaporkan, penduduk-penduduk kampung berkenaan mendakwa kegiatan mengorek pasir Sungai Kulim telah menyebabkan berlakunya hakisan tebing sungai dan tanah runtuh sejak tiga tahun yang lalu.

Kejadian itu semakin membimbangkan kerana ia kian hampir dengan tanah pertanian dan kediaman mereka. Malah ada penduduk terbabit telah kehilangan tanah akibat diancam hakisan dan tanah runtuh yang berlaku. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pokok di tebing sungai yang menjadi benteng penahan hakisan banyak yang telah tumbang.

Penduduk terjejas telah beberapa kali membuat aduan dan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah Kulim, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuk juga syarikat kuari pasir di sini namun masalah itu masih berterusan hingga sekarang.

CAP kesal dengan masalah ini dan berharap tindakan segera dan berkesan diambil oleh pihak berkenaan agar alam sekitar dan kehidupan penduduk di sini tidak terus terancam.

Siasatan secara menyeluruh wajar dilakukan oleh pihak kerajaan dan tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas mereka yang dikenal pasti menjadi penyebab berlakunya ancaman hakisan dan tebing sungai runtuh di kawasan tersebut.

CAP mencadangkan supaya hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil didedahkan kepada umum, manakala penduduk yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda kerana masalah ini wajar diberi pampasan yang setimpal.

 

Kenyataan Media, 17 Mac 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/