Suruhanjaya Siasatan Negeri diperlukan bagi tragedi tanah runtuh Ampang

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru kerajaan negeri Selangor menubuhkan Suruhanjaya Siasatan (COI) untuk menjalankan siasatan terhadap tragedi tanah runtuh Taman Bukit Permai, Ampang yang mengorbankan empat nyawa dan menyebabkan 48 rumah di zon tanah runtuh itu dipindahkan akibat kebimbangan keselamatan.

Bagi mengelak tragedi sebegini berulang, COI perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca tanah runtuh, sekiranya berlaku kecuaian oleh sesiapa termasuk pihak berkuasa, apakah langkah-langkah pemulihan dan pencegahan yang diperlukan, termasuk sama ada undang-undang dan garis panduan yang sedia ada bagi perlindungan tanah bukit dan keselamatan cerun adalah mencukupi atau memerlukan penambahbaikan.

COI ini amat diperlukan memandangkan kawasan Ampang sangat terdedah kepada tanah runtuh, seperti yang terbukti daripada keruntuhan Highland Towers pada 1993.  Nampaknya tidak ada pengajaran daripada tragedi tersebut yang telah meragut 48 nyawa.

Kita perlu mendalami perkara ini, dan bukan semata-mata mengaitkan tanah runtuh dengan hujan lebat. Kekerapan dan intensiti hujan akan meningkat lanjutan daripada kesan perubahan iklim. Apa yang diperlukan adalah untuk bergerak ke arah mengukuhkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim, seperti yang dinyatakan dalam laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim baru-baru ini.

COI sebegitu bukan baru. Di Pulau Pinang berikutan tragedi tanah runtuh yang meragut 11 nyawa pada 2017, COI telah dilaksanakan dan ini membawa kepada penambahbaikan garis panduan cerun bukit, dan telah mendapati bahawa jurutera perunding yang diupah oleh pemaju bertanggungjawab atas kecuaian.

Kita mesti mencegah tragedi seperti ini berlaku pada masa depan, sementara menjalankan langkah-langkah pemulihan untuk memastikan keselamatan penduduk di zon tanah runtuh.

 

Kenyataan Akhbar, 14 Mac 2022