Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memuji kerajaan Malaysia kerana melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, berkuat kuasa 1 Oktober 2024. Kemajuan ini dicapai walaupun terdapat memorandum daripada lima persatuan yang mewakili lebih 2,000 peniaga vape, menggesa pindaan kepada undang-undang yang memihak kepada industri vape.
Walaupun industri vape mendakwa ia sebagai penjana pendapatan yang ketara, dakwaan yang tidak jelas ini adalah tidak sebanding dengan kos perubatan yang besar yang terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai. Lebih-lebih lagi, rayuan industri bagi mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, yang diketuai oleh Perdana Menteri, menimbulkan kebimbangan mengenai komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC). Di bawah Perkara 5.3, kerajaan berkewajipan untuk melindungi dasar kesihatan awam daripada pengaruh kepentingan tembakau komersial. Kesihatan awam mestilah diutamakan daripada kepentingan komersial.
Retorik industri vape mencerminkan industri tembakau, yang kini dikawal ketat di bawah WHO FCTC, yang diterima pakai oleh lebih 90% negara di seluruh dunia. Walaupun menghisap vape dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat dan alat untuk berhenti merokok, dakwaan ini sering mengelirukan dan menyumbang kepada ketagihan nikotin yang berterusan. Ini mengingatkan memo pada 1960-an daripada Addison Yeaman, Penasihat Undang-undang Brown & Williamson, yang secara terus terang menyatakan, “Kita dalam perniagaan menjual nikotin, ubat ketagihan.”
Taktik industri vape juga menyasarkan bukan perokok dan belia, memikat mereka ke dalam tabiat yang sangat menagihkan. Paparan produk vape yang menonjol di kedai, digabungkan pula dengan pembungkusan yang menarik, memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku pengguna sementara memperkecilkan risiko kesihatan. Penyelidikan menunjukkan bahawa strategi pemasaran seperti itu menggalakkan bukan perokok dan remaja untuk mula menggunakan produk ini, dengan kesan jangka panjang yang berbahaya. Cecair vape yang dijual dalam jumlah yang lebih besar menggalakkan lagi penggunaan yang kerap, membawa kepada pengambilan nikotin yang lebih tinggi dan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam aerosol.
Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menghentikan secara berperingkat bagi tempoh satu tahun untuk menjual stok sedia ada. Ini seperti tindakan yang disuarakan daripada tindak balas industri tembakau terhadap pengenalan Amaran Kesihatan Bergambar (PHW) pada 2008, di mana pihak syarikat mendapat tempoh penangguhan sehingga dua tahun, dengan memetik kos yang besar dan kebimbangan logistik. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan telah pun mengumumkan semasa Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 2008 bahawa PHW akan dilaksanakan menjelang Januari 2009, tidak memberikan ruang bagi kelewatan.
Peniaga vape juga berpendapat bahawa yuran pendaftaran yang tinggi dan kos kawal selia mengancam perniagaan mereka. Namun, kerajaan mestilah meletakkan kesihatan awam mengatasi kepentingan peniaga ini. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, penggunaan e-rokok dan vape dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022, walaupun kadar merokok menurun. Populariti vape yang semakin meningkat dalam kalangan belia adalah menjadi kebimbangan kesihatan awam yang serius.
Kes ekonomi bagi industri vape dilemahkan lagi oleh peningkatan kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan penyakit berkaitan menghisap vape. Kebanyakan individu yang terjejas mungkin akan mendapatkan rawatan di hospital awam, memburukkan lagi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan yang sudah terlalu terbeban. Menghisap vape juga boleh menyebabkan gangguan tenaga kerja, pendapatan berkurangan dan kesukaran kewangan bagi keluarga kerana kos yang mudah diabaikan oleh industri.
Tanpa langkah undang-undang yang kukuh, kos rawatan e-rokok atau kecederaan paru-paru berkaitan menghisap vape (EVALI) dijangka mencecah RM369 juta setiap tahun menjelang 2030. Digabungkan dengan kos tersembunyi lain, ini akan jauh melebihi RM500 juta hasil tahunan yang boleh dijana melalui cukai vape. Menteri Kesihatan ketika itu Dr. Zaliha Mustafa telah menegaskan bahawa setiap pesakit EVALI memerlukan kos sekitar RM150,000 untuk rawatan, dengan perbelanjaan ini dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.
Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas menyatakan bahawa industri ini terbuka kepada peraturan tetapi lebih suka pendekatan beransur-ansur. Walau bagaimanapun, ini mencerminkan taktik yang sama yang digunakan oleh syarikat tembakau selama berdekad-dekad iaitu menangguhkan peraturan yang bermakna dengan mengeksploitasi kelemahan undang-undang. Peniaga vape menyedari dari awal lagi bahawa produk mereka, sebagai sistem penyampaian nikotin, akan menghadapi peraturan ketat atau larangan kerana kesan berbahayanya. Menerima risiko ini adalah keputusan perniagaan yang telah diambil kira.
Kerajaan mestilah kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi kesihatan awam dan menolak percubaan industri vape untuk mempengaruhi dasar bagi kepentingan komersialnya sendiri. CAP menggesa kerajaan Malaysia untuk menegakkan kewajipannya di bawah WHO FCTC dan mengutamakan kesihatan orang ramai berbanding keuntungan industri vape.
Kesimpulannya, CAP menggesa kerajaan untuk menolak dengan tegas memorandum industri vape. Hujah industri, sama seperti yang pernah digunakan oleh sektor tembakau, direka untuk mengelirukan orang ramai dengan mempersembahkan vape sebagai alternatif yang lebih selamat. Memandangkan penggunaan vape dalam kalangan belia Malaysia terus meningkat, risiko kesihatan dan kos ekonomi jauh melebihi sebarang potensi manfaat kewangan yang mungkin ditawarkan oleh industri. Kesihatan awam mestilah sentiasa diutamakan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 26 September 2024