Sempena Minggu Tindakan Hijau 2024 (Green Action Week – GAW 2024), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambutnya pada tahun ini dengan bertemakan: “Berkongsi Panduan Penjimatan Tenaga: Menyejukkan Secara Semula Jadi.” Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan kritikal bagi penjimatan tenaga dan memperkenalkan penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti kita.
Minggu Tindakan Hijau ialah suatu kempen global untuk menggalakkan penggunaan mampan dalam komuniti, negara dan serantau. Ia disambut antara September dan November pada setiap tahun. Peserta-peserta kempen ini mempamerkan cara kreatif untuk membawa perubahan dengan membolehkan perkongsian dan akses kepada sumber.
Antara aktiviti GAW 2024, CAP menganjurkan program perkongsian benih selama sebulan sehingga 5 Oktober 2024. Kami menjemput dan menggalakkan orang ramai untuk membawa benih tanaman, anak pokok dan keratan batang ke pejabat CAP untuk dikongsi dengan orang lain.
Selain itu, CAP akan menganjurkan program penjimatan tenaga pada 5 Oktober 2024, di mana peserta boleh mendapatkan panduan mudah bagi penyejukan secara semula jadi. Program ini akan mempamerkan manfaat menggunakan tumbuhan dan memperkenalkan minuman yang menyegarkan, sihat dan menyejukkan yang diperbuat daripada bahan semula jadi. Terdapat juga demonstrasi cara membuat sendiri syampu herba, dan jeli sarsaparilla dan kami akan mempamerkan pelbagai jenis tumbuhan penyejuk, bunga, bijirin, herba dan rempah ratus.
Dengan menggalakkan penggunaan tumbuhan penyejuk, kami menyasarkan untuk menunjukkan cara kaedah penyejukan semula jadi yang boleh membantu mengawal suhu dalaman untuk mengurangkan pergantungan pada peralatan intensif tenaga. Pokok dan tumbuhan dalaman adalah penyaman udara semula jadi kerana proses penyejatan tumbuhan menyejukkan udara, dengan itu dapat mengurangkan suhu persekitaran. Kanopi pokok bertindak sebagai payung semula jadi yang memberikan teduhan. Daun dan dahan pokok bandar biasanya menyekat 10-30% sinaran matahari daripada sampai ke tanah di bawah kanopinya.
Dengan penggunaan tenaga yang semakin meningkat, terutamanya bagi tujuan penyejukan, ini adalah masa untuk kita mengurangkan pergantungan kepada peralatan intensif tenaga. Mengurangkan penggunaan tenaga adalah penting dalam memerangi perubahan iklim. Dengan menggunakan teknik penyejukan mesra alam, individu boleh memberi kesan positif yang ketara kepada alam sekitar serta mewujudkan keadaan hidup yang lebih sihat dan mampan.
Kami menggalakkan orang ramai mendaftar untuk menghadiri program GAW 2024 pada 5 Oktober di pejabat CAP untuk mempelajari tindakan mudah yang boleh diambil oleh sesiapa sahaja untuk menjimatkan tenaga.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 27 September 2024