CAP: Siasat produk SHEIN yang masuk ke Malaysia

Gambar AFP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat produk SHEIN yang memasuki negara ini.

Gesaan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap penemuan oleh pihak berkuasa Bandaraya Seoul baru-baru ini yang mendedahkan bahawa produk kanak-kanak yang dijual oleh platform beli-belah dalam talian SHEIN mengandungi bahan kimia toksik yang tinggi.

Menurut laporan berita, pihak berkuasa Seoul telah menjalankan pemeriksaan keselamatan sejak bulan lalu berikutan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat mengenai produk yang dijual oleh platform e-dagang China itu. Maklumat terkini mendedahkan bahawa tujuh daripada lapan produk yang diuji daripada SHEIN mengandungi formaldehid dan ftalat melebihi had keselamatan. Sepasang kasut kanak-kanak mengandungi ftalat melebihi had yang dibenarkan sebanyak 428 kali.

Ftalat, yang biasa digunakan sebagai pemplastik, tergolong dalam kumpulan bahan kimia yang mengganggu endokrin. Pendedahan kepada jumlah ftalat yang tinggi memudaratkan sistem pembiakan, neurologi dan perkembangan manusia, dengan kanak-kanak menjadi lebih rentan.

Formaldehid, apabila diserap melalui kulit boleh mengakibatkan ketoksikan sistemik yang teruk, membawa kepada asidosis metabolik, kerosakan tisu dan organ, dan koma.

SHEIN adalah salah satu kedai fesyen dalam talian terbesar di dunia, terkenal dengan harga yang rendah dan trendnya. Malah sebuah artikel majalah Time pada tahun 2023 menggelarnya sebagai jenama fesyen paling popular di dunia. Pertumbuhan yang meletup ini mencetuskan pihak berkuasa di Korea Selatan dan Kesatuan Eropah untuk melihat dengan lebih dekat amalan perniagaan dan standard keselamatan mereka.

Perkara ini amat membimbangkan kerana SHEIN merupakan salah satu platform e-dagang dalam talian yang popular di Malaysia terutamanya dalam kalangan belia.

Berdasarkan kepada situasi di atas, CAP menggesa pihak berkuasa kita untuk segera menjalankan ujian keselamatan produk yang dijual di SHEIN kerana ia didapati mengandungi bahan kimia yang sangat berbahaya.

Sementara itu untuk mengurangkan sentuhan kita dengan bahan berbahaya, CAP menasihatkan pengguna untuk:

  • Sentiasa basuh pakaian baru sebelum memakainya untuk menyingkirkan lapisan kimia toksik.
  • Elakkan membeli daripada jenama yang tidak telus mengenai proses pembuatannya.
  • Elakkan atau kurangkan mendapatkan pakaian atau barangan yang dilabelkan sebagai tahan kotoran, air atau bau.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 11 Jun 2024