Cegah Kanser Sebelum Ia Bermula

Hari ini (4 Februari) adalah Hari Kanser Sedunia. Kanser pengganas kesihatan utama – ia merupakan kumpulan besar penyakit yang boleh bermula dalam hampir semua organ atau tisu tubuh apabila sel luar biasa berkembang dengan tidak terkawal, melangkaui sempadan biasa untuk menyerang bahagian tubuh bersebelahan dan/atau menyerang kepada organ lain. Proses terakhir ini dipanggil metastasis dan penyebab utama kematian akibat kanser.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser merupakan salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia, dianggarkan 9.6 juta kematian atau 1 daripada 6 kematian pada 2018.

Di Malaysia, kira-kira 100,000 orang menderita akibat kanser setiap tahun. 10 jenis kanser teratas di Malaysia sepanjang 2012-2016 adalah: kanser payudara, diikuti kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma, kanser nasofaring, leukemia, kanser prostat, kanser hati, kanser servik dan kanser ovari.

Kini beban kanser semakin meningkat dalam kalangan penduduk Malaysia. 1 daripada 4 rakyat Malaysia cenderung menghidap kanser pada usia 75 dan insiden kanser di Malaysia dijangka dua kali ganda menjelang 2040. Ini mewujudkan beban fizikal, emosi dan kewangan yang amat besar kepada individu, keluarga, komuniti dan sistem kesihatan.

Berita baik adalah kanser boleh dicegah.

PILIHAN HARIAN Mempengaruhi Risiko Kanser  

Menurut WHO, kira-kira 30% daripada kematian kanser di seluruh dunia boleh dielakkan dengan mengubah gaya hidup dan tabiat yang lebih sihat. Contohnya, setiap tahun 1.5 juta orang mati di seluruh dunia akibat kanser yang dikaitkan dengan tembakau – kematian yang boleh dicegah jika orang ramai mengelakkan daripada merokok. MEROKOK merupakan faktor risiko yang kuat bagi kanser paru-paru, pundi kencing, esofagus, ginjal, pankreas, dan leher serta kepala.

Faktor risiko lain yang boleh dielakkan bagi kanser adalah pengambilan alkohol, diet yang tidak sihat dan tidak aktif secara fizikal.

  • Melakukan SENAMAN secara tetap membantu mengelakkan obesiti, yang dikaitkan dengan risiko kanser, dan juga mengawal paras hormon yang diketahui mempengaruhi risiko kanser.
  • Mengehadkan berapa banyak kita minum ALKOHOL juga penting memandangkan jumlah pendedahan sepanjang hayat kepada alkohol adalah penentu penting kepada risiko kanser payudara, esofagus, hati, kolorektal, perut, mulut, dan kanser kepala serta leher tertentu.
  • Diet yang kaya dengan MAKANAN TUMBUHAN – buahan, sayuran, bijirin tulen dan kacang – menangkis kanser tertentu. Makanan yang kaya dengan serat (contohnya: bijirin tulen, sayuran dan buahan) boleh melindungi daripada kanser usus. Diet yang kaya dengan bijirin tulen boleh melindungi daripada pertambahan berat – mempunyai berat berlebihan dan obes dikaitkan dengan peningkatan risiko 12 kanser. Sayuran dan buahan boleh melindungi daripada kanser mulut, tekak dan saluran penghadaman.

PENCEGAHAN – KEAJAIBAN Kanser

Keajaiban kanser bukan penyembuhan. Ia adalah pencegahan. Dr. Christopher Wild, Pengarah Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa berkata, “Kita tidak dapat mengatasi masalah kanser.” Kemajuan dalam rawatan sahaja tidak cukup untuk mengatasi sepenuhnya beban kanser. “Satu-satunya penyelesaian adalah pertahanan sepenuhnya, jadi tiada siapa yang akan menderita penyakit ini,” kata laporan dalam Harvard Public Health.

Kanser membawa kesakitan dan kesedihan apabila ia menyerang. Pencegahan kanser menjimatkan masa, wang – dan mengelakkan semua penderitaan.

Tema Hari Kanser Sedunia tahun ini ialah “Saya akan dan Saya boleh” merupakan peringatan kepada setiap orang daripada kita boleh memainkan peranan dalam mengurangkan kesan kanser. Hentikan kanser sebelum ia bermula. Bermula dengan membuat perubahan mudah dalam kehidupan harian anda.

DAPATKAN KETERANGAN LANJUT bagaimana mudahnya untuk mencegah kanser dengan mendapatkan Panduan CAP yang mudah, “MENCEGAH KANSER”, boleh diperolehi di sini: https://consumer.org.my/ms/product/mencegah-kanser/