Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menguji dan mendapati celak dari Pakistan mempunyai tahap plumbum yang mengejutkan. Mengambil petunjuk daripada penemuan kami, EcoWaste Coalition di Filipina baru-baru ini menguji kosmetik untuk mata bagi plumbum dan bahan lain yang diharamkan dan menemui celak toksik yang sama juga untuk dijual di Filipina.
Di bawah ialah siaran akhbar terbaharu kumpulan itu mengenai perkara ini.
Siaran Akhbar
Celak Sarat Plumbum yang Diuji di Malaysia Juga Dijual di Filipina
24 Oktober 2024, Quezon City. Kumpulan pemerhati toksik EcoWaste Coalition membangkitkan kebimbangan mengenai penjualan kosmetik bagi kegunaan di kawasan mata buatan Pakistan di Filipina yang baru-baru ini diuji di Malaysia dan didapati mengandungi paras plumbum iaitu bahan kimia beracun yang mengejutkan.
Pada sidang media yang diadakan pada 22 Oktober lalu sempena Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan bahawa sampel Hashmi Kohl Asmar mengandungi 125,688 bahagian per sejuta (bps) plumbum mengikut analisis makmal. Di bawah Arahan Kosmetik ASEAN (ACD), plumbum sebagai bahan pencemar logam berat tidak boleh melebihi had maksimum 20 bps.
Dicetuskan oleh penemuan toksik CAP, EcoWaste Coalition pergi ke Manila dan Bandar Pasay untuk mencari kosmetik untuk mata yang serupa yang boleh tercemar dengan bahan yang diharamkan seperti plumbum.
Daripada 8 kosmetik untuk mata yang diimport dari India dan Pakistan, 2 produk (Hashmi Kohl Asmar dan Hashmi Surma Special) didapati mengandungi lebih 100,000 bps plumbum mengikut saringan X-Ray Fluorescence (XRF) yang dijalankan oleh kumpulan itu. Tarikh pembuatan (Julai 2023) dan nombor kelompok (023) yang pertama adalah sama dengan yang diuji oleh CAP.
Selain plumbum, 2 produk Hashmi juga didapati tercemar dengan cara kadmium dan arsenik melebihi paras yang dibenarkan iaitu 5 bps. Hashmi Kohl Asmar mengandungi 210 bps kadmium dan 6,290 bps arsenik, sementara Hashmi Surma Special pula mempunyai 143 bps kadmium dan 4,010 bps arsenik. Celak Hashmi mengandungi serbuk hitam dalam botol plastik emas kecil dengan bahagian atas skru dan dalam pembungkusan menggelembung.
Arsenik, kadmium dan plumbum disenaraikan dalam Lampiran II Bahagian I ACD, atau senarai bahan yang tidak boleh menjadi sebahagian daripada komposisi produk kosmetik. Logam toksik ini juga termasuk dalam 48 bahan kimia keutamaan Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli (DENR) yang “telah ditentukan berpotensi menimbulkan risiko yang tidak munasabah kepada kesihatan awam, tempat kerja dan alam sekitar”.
Ini bukan pertemuan pertama EcoWaste Coalition dengan celak Hashmi yang sangat toksik. Malah, kumpulan itu memaklumkan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) pada 2014 mengenai penjualan celak tanpa kebenaran ini di pasaran tempatan selepas memantau amaran import oleh FDA Amerika Syarikat (AS) terhadap kosmetik kawasan mata yang mengandungi kohl, kajal atau surma. Pada 2018, kumpulan itu sekali lagi menarik perhatian kepada celak Hashmi selepas 3 kanak-kanak di Australia jatuh sakit akibat keracunan plumbum daripada menggunakan celak beracun ini.
Pada 2021, kumpulan itu meminta FDA mengeluarkan amaran kesihatan awam terhadap penggunaan kosmetik kawasan mata Hashmi yang mengandungi arsenik, kadmium dan plumbum, serta menghentikan penjualannya di luar talian dan dalam talian.
Sebuah kedai rangkaian di Paco, Manila yang menjual produk Asia Selatan secara sukarela menghentikan penjualan celak Hashmi pada 2021 berikutan penerimaan maklumat kesihatan dan keselamatan daripada EcoWaste Coalition.
Sehingga kini, kerajaan Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Ireland dan Amerika Syarikat telah mengambil langkah untuk melindungi rakyat mereka daripada terjejas oleh plumbum dan bahan berbahaya lain dalam celak Hashmi.
“Risiko yang berkaitan dengan pendedahan kepada plumbum amat serius bagi kanak-kanak,” kata FDA AS. “Antara kesan yang dikaitkan dengan paras pendedahan plumbum yang tinggi adalah anemia, masalah buah pinggang, dan kerosakan saraf yang mungkin termasuk sawan, koma dan kematian.”
“Walaupun pada paras yang agak rendah, pendedahan kronik kepada plumbum boleh membawa kepada masalah pembelajaran dan tingkah laku,” katanya.
Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS telah menetapkan paras plumbum darah sebanyak 5 mikrogram setiap desiliter (µg/dL) pada kanak-kanak sebagai paras rujukan di mana CDC mengesyorkan untuk memulakan tindakan kesihatan awam.
EcoWaste Coalition dan CAP ialah pertubuhan yang mengambil bahagian dari Rangkaian Penghapusan Pencemaran Antarabangsa (IPEN) dan terlibat secara aktif dalam maklumat awam dan usaha advokasi dasar mengenai bahan kimia yang membimbangkan seperti plumbum dan bahan dan produk berbahaya lain, termasuk cat yang mengandungi plumbum.