Oleh Fitri Amir
Akhir-akhir ini beberapa kumpulan perniagaan dan pihak tertentu dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) giat melobi pimpinan kerajaan agar Malaysia segera mengesahkan (meratifikasi) perjanjian perdagangan bebas CPTPP (Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership). CPTPP telah ditangani oleh 11 negara iaitu Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, New Zealand, Singapura and Vietnam pada 8 Mac 2018. CPTPP hanya akan berkuatkuasa apabila negara-negara terbabit meratifikasi undang-undang negara masing-masing agar selari dengan teks perjanjian tersebut. Malaysia masih dalam proses menilai kesan dan manfaat CPTPP dan tidak menetapkan tarikh tertentu untuk meratifikasikannya. Keputusan ratifikasi akan dibuat oleh Perdana Menteri melalui mesyuarat menteri kabinet.
Walaupun disebut sebagai perjanjian perdangangan, hanya 6 daripada 30 bab dalam teks perjanjian adalah berkenaan perdagangan konvensional barangan manakala 24 bab lagi mengandungi peraturan dan syarat berkenaan hal bukan-perdagangan yang melibatkan soal harta intelek, pelaburan, perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan, e-dagang, perkhidmtan, alam sekitar dan buruh. Perjanjian ini akan memberi kesan yang mendalam kepada sosioekonomi dan sosiobudaya Malaysia serta akan menghalang Malaysia daripada memperkenalkan polisi-polisi baharu yang baik jika ia bercanggah dengan teks CPTPP.
Dalam konteks pertanian, penternakan dan perikanan, risikonya cukup besar memandangkan Malaysia bukanlah sebuah negara pengeksport utama agro-makanan melainkan tanaman komoditi iaitu kelapa sawit. Kita perlu mengambil iktibar daripada perjanjian perdagangan bebas NAFTA (North America Free Trade Agreement) yang menyaksikan industri pertanian Mexico hampir musnah kerana lambakan hasil pertanian yang masuk dari Amerika dan Canada serta kenaikan kos input pertanian atas faktor hak monopoli melalui mekanisma perlindungan harta intelek yang melampau.
Kenaikan Kos
Bab Harta Intelek dalam teks CPTPP mewajibkan negara untuk menyertai beberapa perjanjian antarabangsa berkenaan harta intelek yang selama ini tidak disertai Malaysia. Antara perjanjian yang akan memberi kesan langsung kepada petani adalah ‘Convention for the Protection of New Varieties of Plants’ atau lebih dikenali sebagai UPOV91 yang berkaitan hak pembiak baka tumbuhan dan Perjanjian Budapest yang berkaitan hak paten terhadap mikroorganisma.
UPOV91 adalah sebuah perjanjian yang mengangkat hak monopoli syarikat dan pembiak baka terhadap biji benih dan bahan penyebaran tumbuhan. Kebanyakan anggota UPOV91 adalah negara-negara maju yang memiliki banyak pembiak baka komersial yang mampu memenuhi syarat-syarat UPOV91 yang ketat seperti ujian Kelainan, Keseragaman dan Kestabilan benih (Distinctness, Uniformity and Stability – DUS).
Di Malaysia, kita sudah pun ada Akta Perlidungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (PVP2004) yang sesuai dengan situasi pertanian di negara ini. PVP2004 mengimbang hak pembiak baka komersial atas usaha inovasi mereka disamping tidak menghalang petani kecil daripada mengamalkan amalan tradisi menyimpan, berkongsi dan menjual benih. PVP2004 juga melindungi negara daripada risiko ‘bio-piracy’ dan ‘bio-security’, melaksanakan kawalan royalti serta menjamin petani agar mendapat bekalan benih yang cukup dengan harga berpatutan.
Penyertaan ke dalam sistem UPOV91 memerlukan kerajaan membubarkan akta PVP2004 bersama-sama kepentingannya seterusnya menghalang petani daripada menyimpan dan berkongsi benih yang dilindungi, membentuk monopoli pasaran selama 20 tahun untuk sesuatu benih dan 25 tahun untuk pokok berkayu, akhirnya akan meningkatkan harga benih.
Perjanjian Budapest pula membolehkan pihak yang memohon hak paten terhadap bahan biologi seperti mikroorgnisma dan bahan genetik untuk tidak perlu menyimpan sampel bahan biologi tersebut di semua negara di mana dia ingin mendapatkan hak paten. Pemohon hanya perlu menyimpan bahan biologi itu di mana-mana institusi yang diiktiraf dibawah Perjanjian Budapest, dan deposit ini akan diakui di semua negara yang menjadi anggota Perjanjian Budapest.
Dalam hal ini, Perjanjian Budapest menjadikannya lebih mudah secara prosedur untuk mendapatkan hak paten terhadap mikroorganisma seperti mikroorganisma efektif (EM) yang banyak digunakan dalam pertanian organik, penghasilan baja-biologi daripada najis ternakan dan pemprosesan produk-produk makanan. Hak peten terhadap mikroorganisma ini akan membolehkan syarikat pengeluar memiliki hak monopoli dalam pasaran.
Perjanjian CPTPP akan memaksa petani untuk mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk bahan kimia pertanian kerana bab harta intelek dalam teks perjanjian ini memperuntukan hak eksklusif pasaran selama 10 tahun kepada pengeluar asal bahan kimia pertanian walaupun ia tidak dipatenkan kerana pihak kerajaan tidak boleh meluluskan penghasilan, import dan penjualan bahan kimia generik selama tempoh 10 tahun apabila sijil hak eksklusif pasaran diberikan melalui CPTPP. Walaupun penggunaan kaedah organik dalam pertanian adalah lebih baik, tidak dapat dinafikan ketika ini para petani di Malaysia sangat bergantung kepada bahan kimia pertanian. Seorang pesawah di Kedah membelanjakan sekitar RM300 – RM400 sehektar untuk racun kimia manakala seorang penanam cili komersial pula membelanjakan sekitar RM4000 sehektar untuk bahan kimia pertanian. Kos ini akan bertambah apabila CPTPP diratifikasi.
Selain itu, perlindungan harta intelek yang lebih kuat dalam teks CPTPP akan membolehkan lebih banyak ubat-uabatan veterinar dipatenkan dan dijual pada harga monopoli yang lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama, semua ini akan meningkatkan kos, dan mengurangkan pendapatan penternak.
Penghapusan Subsidi
Walaupun CPTPP tidak mewajibkan negara anggota untuk menghapuskan keseluruhan subsidi domestik dalam industri pertanian, ia mewajibkan penghapuskan segala bentuk subsidi export produk-produk pertanian. Ini bermakna, program-program bantuan kerajaan kepada petani untuk mengeksport produk pertanian ke negara-negara anggota CPTPP tidak akan dapat dilaksanakan.
Dalam bab alam sekitar, teks CPTPP melarang subsidi diberikan kepada tangkapan spesis ikan tentu. Walaupun larangan ini adalah bertujuan untuk melindungi jumlah spesis ikan tertentu yang semakin berkurangan kerana tangkapan yang berlebihan, perlu difahami bahawa punca kekurangan jumlah ikan adalah disebabkan oleh bot-bot nelayan besar dan asing yang menggunakan alat tangkapan yang menangkap ikan-ikan yang masih kecil dan memusnahkan habitat ikan seperti pukat tunda, rawa sorong, bubu naga dan bom. Larangan ini tidak praktikal malah bersifat tidak adil kepada nelayan pantai.
Pasaran Tempatan Terjejas
Pembangunan sektor pertanian seharusnya tidak hanya menumpukan kuantiti hasil pertanian tetapi juga mesti menjamin pendapatan yang tinggi kepada petani, penternak dan nelayan. Namun, jika Malaysia meratifikasi CPTPP, kita diwajibkan untuk menghapus 100% tarif pada barangan import termasuk produk pertanian (dengan beberapa tempoh peralihan dan kuota kadar tarif untuk ayam dan telur). Maka, Malaysia akan menghadapi peningkatan import produk pertanian daripada negara anggota CPTPP. Tarif import merupakan salah satu bentuk perlindungan kepada petani, penternak dan nelayan tempatan selain menjadi sumber pendapatan negara.
Selain tarif, kawalan import bukan tarif seperti kuota dan permit juga perlu dihapuskan bertujuan untuk memudahkan kemasukan produk asing daripada negara-negara anggota CPTPP. Tanpa tarif dan kawalan import, petani, penternak dan nelayan Malaysia berkemungkinan besar tidak akan dapat bersaing dengan import produk pertanian dan makanan yang lebih murah dari negara-negara CPTPP yang lain terutamanya Vietnam dan Australia yang juga banyak memberikan subsidi domestik kepada petani, penternak dan nelayan mereka. Akibatnya, rakyat kita kehilangan pendapatan dan akan ada pengurangan pengeluaran makanan Malaysia. Apabila Malaysia bergantung pada import makanan, jaminan bekalan makanan negara akan terancam seperti yang kita lihat dalam situasi pandemik COVID19 ketika beberapa negara menyekat eksport makanan. Malaysia pada ketika ini adalah negara pengimport makanan utama.
Alternatif kepada CPTPP
CPTPP bukanlah sebuah perjanjian berkenaan perdagangan semata-mata tetapi juga sebuah perjanjian yang melampaui batas tanggungjawab negara untuk melindungi sosioekonomi rakyatnya. Terdapat banyak dasar-dasar khusus yang dapat digubal oleh pemerintah untuk mengawal aliran perdagangan dengan mana-mana negara didunia ini supaya adil dan dapat menguntungkan negara. Tarif, kuota, subsidi eksport, kawalseliaan dan insentif seharusnya sentiasa dikemaskini menurut perkembangan ekonomi serantau dan dunia agar dapat menguntungkan rakyat. Rancangan Malaysia ke-12 dan Dasar Agromakanan Negara ke-2 seharusnya mampu diperkasakan oleh kita sendiri menurut acuan kita tanpa perlu kita mengikat kaki dan tanga kepada kuasa ekonomi dan geopolitik asing.
* NurFitri Amir Muhammad (Fitri Amir) merupakan seorang penyelidik, aktivis sosial dan juga merupakan koordinator kepada Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM). Beliau boleh dihubungi melalui nfitriamir@gmail.com