DIHARAMKAN: 5 Produk Kosmetik Didapati Mengandungi Racun

Kementerian Kesihatan telah mengharamkan penjualan 5 produk kosmetik selepas ia didapati mengandungi racun berjadual.

5 produk tersebut ialah Karisma Aqua Birds Nest, yang mengandungi hidrokuinon; Skin Revolution – PAP – Blemish Control Serum, yang mengandungi clindamycin; Skin Revolution – PAP – Blemish Fade Cream, yang mengandungi metronidazole; Ufora Daily Treatment 10g, yang mengandungi betamethasone 17-valerate; dan Dnars Gold Debalen Cream (Night), yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin and betamethasone 17-valerate.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta kerana ia bertentangan dengan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian berkata produk yang mengandungi bahan kimia tersebut mesti berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat profesional kesihatan perubatan kerana penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hidrokuinon menyebabkan ketidakselesaan, kemerahan pada kulit, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan hipersensitiviti kulit, manakala tretinoin menyebabkan kemerahan kulit dan mengelupas, ketidakselesaan, sakit dan hipersensitiviti cahaya.

“Penggunaan clindamycin dan metronidazole boleh mendatangkan kesan yang memudaratkan kesihatan dan meningkatkan risiko kerintangan, yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan.”

Betamethasone 17-valerate mengakibatkan penipisan kulit, kerengsaan dan jerawat, kata kementerian itu.

Sumber: Bernama (30 September 2024)