E-skuter dan e-basikal boleh menjadi bom jangka

Rangka basikal elektrik yang terbakar di Shepherds Bush, London. – gambar daripada BBC

Dilaporkan bahawa pada awal September Electrical Safety First menugaskan pasukan penyelidikan keselamatan kebakaran Building Research Establishment (BRE) di United Kingdom (UK) menjalankan ujian ke atas kebakaran bateri litium-ion untuk menentukan bahaya bateri litium-ion yang digunakan dalam skuter elektrik (e-skuter) dan basikal elektrik (e-basikal). Keputusan itu menunjukkan sifat letupan bateri litium-ion mengakibatkan apa yang dikenali sebagai ‘thermal runaway’.

Empat orang di UK terbunuh akibat kebakaran bateri litium-ion dalam tiga bulan pertama tahun ini sahaja. Dalam kes lain, orang ramai dimasukkan ke hospital atau cedera parah dan menyebabkan kerosakan besar kepada harta benda.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengawal selia produk e-mobiliti yang pelbagai isu keselamatan serius daripada pembuatannya hinggalah kepada  penggunaannya yang telah diperiksa dan dikenal pasti oleh BRE.

Di Malaysia, kenderaan mobiliti mikro ditakrifkan sebagai “sebarang kenderaan yang digerakkan dengan cara elektrik, enjin pembakaran dalaman atau kuasa manusia atau gabungan alat elektrik, enjin pembakaran dalaman atau kuasa manusia, dan mempunyai kelajuan maksimum 50 km/j”.

Daripada rangkaian luas kenderaan mobiliti mikro ini, BRE hanya menguji pada e-skuter dan e-basikal kerana terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam bilangan kematian, kecederaan dan kebakaran yang dahsyat daripada kenderaan ini.

Kini sudah tiba masanya bagi kajian BRE didedahkan kepada umum kerana ia boleh menjadi pengajaran kepada Malaysia untuk belajar kerana e-skuter dan e-basikal juga merupakan trend yang sedang muncul di sini dan langkah pencegahan boleh diambil sebelum kebakaran bateri litium-ion menjadi masalah.

Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (MEC) perlu menangani aspek reka bentuk dan keselamatan bateri litium bagi e-skuter dan e-basikal di negara ini berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh BRE.

Kebakaran bateri litium-ion diketahui dengan kekuatan, letupan dan pengeluaran asap toksik. Kebakaran boleh disebabkan oleh reka bentuk yang tidak berkualiti dan/atau kecacatan pembuatan yang menyebabkan litar pintas. Laporan itu juga memberi amaran mengenai ketersediaan dalam talian kit penukaran e-basikal lakukan sendiri (DIY).

Laporan penuh boleh diperolehi di laman sesawang Electrical Safety First:

https://www.electricalsafetyfirst.org.uk/media/sgyikuwb/esf_batterybreakdown_report_2023_v7_-final.pdf

Kami mengulangi gesaan kepada kerajaan untuk melihat reka bentuk e-skuter dan e-basikal serta aspek keselamatan lain yang mungkin membahayakan nyawa pengguna.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 5 Oktober 2023