Ketika dunia mengalihkan perhatiannya kepada rundingan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang bagi Perjanjian Plastik Global pada November ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dengan 190 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan-kerajaan dengan menggunakan tubuh mereka untuk memaparkan perkataan “Strong Plastic Treaty” dan sepanduk kain yang menggesa dunia untuk mengurangkan pengeluaran plastik (Reduce Plastic Production).
Guru-guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hj Mohamed Nor Ahmad memimpin pelajar mereka dalam aktiviti tersebut di padang sekolah mereka di Gelugor, Pulau Pinang dalam acara anjuran bersama SAM dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada 8 Oktober 2024. Pertubuhan dan komuniti sekolah bersatu dalam menggesa satu perjanjian yang lebih kukuh bagi menangani krisis pencemaran plastik dan menuntut tindakan yang mengurangkan sisa plastik daripada sumbernya.
Kira-kira 400 orang yang turut menghadiri ceramah mengenai pencemaran plastik dan Perjanjian Plastik Global terlibat dalam aktiviti tersebut. Penolong Kanan Kokurikulum sekolah, Mohamad Adham bin Sallehon berkata ini adalah peluang bagi mereka berikrar untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam jangka masa panjang demi generasi akan datang kerana pencemaran plastik memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar.
“Kami berkumpul di sini hari ini kerana pencemaran plastik telah menjadi krisis utama yang perlu ditangani segera. Di seluruh dunia, lebih daripada 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun, dan lebih separuh daripadanya adalah plastik sekali guna,” Mageswari Sangaralingam, Setiausaha Kehormat SAM, berkata pada perhimpunan sekolah itu. “Penghasilan plastik mengeluarkan sejumlah besar gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim dan bahan kimia toksik yang mengancam kesihatan kita. Lebih banyak pengeluaran plastik bermakna lebih banyak pencemaran plastik.”
Kepentingan isu plastik tidak boleh dipertikaikan lagi. Setiap hari, kira-kira 2,000 lori sampah yang penuh dengan plastik dibuang ke lautan, sungai dan tasik dunia, mencekik ekosistem dan komuniti. Perjanjian Plastik Global ialah peluang bagi perubahan sistemik merentasi keseluruhan kitaran hayat plastik. 2024 ialah tahun yang penting bagi perjanjian ini, yang bertujuan untuk memuktamadkan perjanjian itu menjelang akhir tahun.
Demonstrasi ini adalah sebahagian daripada pergerakan global yang semakin berkembang, dengan tindakan yang serupa dianjurkan oleh ahli Friends of the Earth yang lain dan pertubuhan lain di seluruh dunia, termasuk di Korea Selatan semasa mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC-5) Perjanjian Plastik. Usaha yang diselaraskan ini menghantar mesej yang jelas: dunia memerlukan perjanjian yang menghadapi krisis plastik dengan skala penuh, menangani pencemaran pada setiap peringkat, daripada pengekstrakan bahan api fosil kepada pengeluaran, pembungkusan, pengedaran, penggunaan dan pelupusan.
Pertubuhan dan aktivis di seluruh dunia menyoroti berjuta-juta tan sisa plastik negara-negara kaya dipunggah ke negara-negara seperti Indonesia, Malaysia, dan Ghana, menjadikannya tempat pembuangan sisa plastik dunia.
Apabila rundingan kini semakin hampir, momentum semakin meningkat. Komuniti yang terjejas dan pergerakan sosial dan alam sekitar di seluruh dunia sedang bersiap sedia, berazam untuk menentang pengaruh bahan api fosil dan kepentingan korporat yang boleh melemahkan keberkesanan Perjanjian, menonjolkan keperluan bagi perjanjian yang turut mempertanggungjawabkan pihak korporat.
Anda boleh membaca dengan lebih lanjut tuntutan rasmi Friends of the Earth International bagi Perjanjian Plastik di sini.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Siaran Akhbar, 10 Oktober 2024