Banjir menyebabkan kemusnahan yang meluas mengakibatkan kehilangan nyawa dan ternakan, tanaman pertanian, dan kerosakan harta benda. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, ia diburukkan lagi dengan kesan perubahan iklim yang sudah berlaku di seluruh dunia. Keadaan banjir yang berulang di Malaysia menjadi semakin bertambah buruk.
Sekiranya berlaku banjir, tiada langkah berjaga-jaga bagi keselamatan yang disediakan untuk melindungi atau memudahkan pemindahan haiwan ternakan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang serius banjir yang semakin teruk berikutan kehilangan nyawa dan kemusnahan alam sekitar.
Ternakan sentiasa menjadi antara banyak mangsa bencana alam, terutamanya ketika banjir, yang merupakan paling kerap dan meluas daripada semua bencana alam berkaitan cuaca. Penternak yang bergantung sara hidup mereka kepada penternakan akan terjejas teruk apabila ditimpa bencana kerana haiwan itu paling kurang diutamakan dalam pengurusan bencana.
Jabatan Perangkaan melaporkan RM36.9 juta kerugian kepada sektor ternakan pada 2022. Ia menyebabkan kerugian ekonomi serta nyawa dan penderitaan ternakan apabila berlakunya bencana. Langkah-langkah perlu diambil untuk mengurangkan kerugian dalam ternakan dan kesiapsiagaan kecemasan adalah penting bagi kebajikan haiwan dan kesinambungan perniagaan. Perancangan lebih awal membantu dalam membuat keputusan yang lebih baik untuk membantu dan melindungi haiwan ini sebelum dan semasa bencana.
Haiwan yang terperangkap dalam banjir sering mengalami penderitaan, tekanan, kejutan, kerosakan anggota badan, kehilangan darah, dehidrasi, dan akhirnya mati akibat lemas.
Memandangkan betapa besarnya kerugian dan kepentingan ternakan kepada pembiak baka dan penternak, Kementerian Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesihatan haiwan ternakan di seluruh negara seharusnya memainkan peranan proaktif dalam pengurusan risiko haiwan semasa bencana.
Pendekatan yang berkesan memerlukan lebih daripada menyelamatkan haiwan ketika dalam kecemasan. Jika bantuan kecemasan tidak diberikan, haiwan ini mungkin mati akibat kekurangan makanan dan air, kekurangan zat makanan, dan penyakit berkaitan banjir.
Dalam kebanyakan kes, masa yang diambil untuk bertindak balas terhalang dan ketersediaan sumber berkurangan dengan ketara di kawasan luar bandar, kadangkala disebabkan kebolehcapaian yang sukar. Rancangan dan peralatan pemindahan perlu disediakan bagi kawasan rendah dan anggota yang terlibat masing-masing perlu dikenal pasti untuk bertindak balas terhadap amaran yang dikeluarkan oleh penyelaras dalam usaha pemindahan. Semua orang dalam pasukan yang terlibat seharusnya boleh dihubungi melalui telefon bimbit atau walkie talkie.
Sebaik-baiknya, Kementerian Pertanian dan pihak berkuasa veterinar yang mempunyai pengetahuan, peralatan dan kemudahan perlu segera mewujudkan pusat rawatan dan penyelamatan haiwan di kawasan yang terjejas. Bekerjasama dengan bantuan komuniti, badan/pertubuhan sukarela, dan NGO kebajikan haiwan boleh diselaraskan dengan bantuan daripada agensi kerajaan. Masalah lain ialah keperluan untuk mengeluarkan haiwan yang cedera bagi rawatan; haiwan yang mati di kawasan banjir teruk boleh mendedahkan ancaman kepada kesihatan awam jika ia tidak dibuang segera.
Kementerian Pertanian dan Perkhidmatan Veterinar (DVS) perlu mempertimbangkannya dengan serius untuk melaksanakan dasar dan strategi bagi mengurangkan risiko dan meminimumkan kesan bencana terhadap haiwan. Pengurangan risiko bencana (DRR) adalah tindakan untuk masa hadapan dan DVS mesti bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan haiwan antarabangsa untuk memastikan keselamatan haiwan peliharaan dan ternakan.
Dengan pengurangan risiko bencana digalakkan di banyak kawasan yang terdedah kepada bencana di kebanyakan bahagian dunia ini, Malaysia perlu mempunyai strategi dan dasar untuk meningkatkan pengetahuannya dalam responsif ternakan.
Haiwan menderita semasa bencana kerana ia sangat bergantung kepada manusia. Oleh itu, kami menggesa bagi haiwan domestik dan ternakan turut dimasukkan ke dalam rancangan kecemasan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 3 Januari 2024