Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan Sungai Kurau, di Kuala Kurau, daerah Kerian di sini.
Masalah yang serius berlaku sejak lima tahun yang lalu itu kini semakin membimbangkan penduduk-penduduk Kampung Raja Bashah kerana kesan kejadian tersebut sudah hampir dengan kediaman mereka.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati kira-kira 20 buah rumah yang terletak di sepanjang 400 meter sungai berkenaan terdedah kepada bahaya ancaman itu dan beberapa batang pokok di kawasan tersebut telah tumbang.
Seorang penduduk Salimah Mohamad, 60, berkata, rumahnya bukan saja sudah terlalu hampir dengan tebing sungai ini yang sudah runtuh malah ketika ombak melanda air sungai tersebut turut melimpah bersama sampah sarap.
Beliau memberitahu, sejak kejadian ini berlaku hampir 15 meter tebing sungai tersebut terhakis. Masalah ini pernah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil.
Ia merayu dan menyeru pihak bertanggungjawab supaya membina banteng pencegah hakisan di kawasan ini dengan segera kerana bimbang keselamatan penduduk-penduduk yang tinggal sepanjang sungai ini terancam pada masa akan datang.
CAP kesal dengan kejadian ini dan meminta pihak berkenaan menjalankan kajian secara menyeluruh punca berlakunya masalah tersebut. CAP percaya jika keadaan ini berlarutan kemungkinan harta benda penduduk akan mengalami kerosakan dan kemusnahan.
CAP berpendapat adalah perlu kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang berkaitan turun padang melihat masalah ini secara dekat agar tindakan bersepadu yang berkesan dapat diambil. CAP juga berharap perkara ini didedahkan kepada umum khususnya mereka yang berhadapan dengan situasi itu.
Kenyataan Media, 22 Disember 2021