CAP mengesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup supaya ayam disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Deepavali pada 12 Nov ini.
Menurut beberapa kenyataan akhbar harian, hampir seminggu selepas penamatan subsidi ayam, harga yang ditawarkan dalam pasaran adalah kompetitif dan jauh lebih rendah daripada harga bersubsidi iaitu harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah RM8.50 sekilogram hingga RM9.40.
Langkah kerajaan mengapungkan harga ayam di pasaran sejak seminggu lalu, memberi manfaat kepada pengguna kerana pengeluar, pemborong dan peruncit ayam akan bersaing sesama sendiri bagi menawarkan harga yang lebih kompetitif.
Akan tetapi, CAP berpendapat bahawa setiap perayaan harga ayam meningkat berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan. Oleh itu, CAP yakin akan harga ayam akan meningkat jika ianya tidak dikawal. Sebelum ini harga ayam dan telur ayam di senaraikan sebagai harga maksimum di musim perayaan.
Oleh yang demikian, CAP menyeru pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup supaya harga ayam dimasukkan ke dalam senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) supaya para pengguna tidak dieksplotasikan oleh para peniaga.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
KenyataanAkhbar, 10 November 2023