Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mengambil tindakan segera bagi menangani kenaikan harga sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan, memandangkan tinjauan baru-baru ini mendedahkan kenaikan harga yang mendadak dalam tempoh hanya dua minggu.
Harga kacang melonjak daripada RM9.00 kepada RM17.50 sekilogram, bendi daripada RM7.00 kepada RM12.50, kacang panjang daripada RM8.00 kepada RM20.00 dan sawi daripada RM6.00 kepada RM12.00 dan cili merah daripada RM8.00 kepada RM18.00.
Kenaikan harga yang mendadak ini telah dikaitkan dengan kekurangan barangan ini disebabkan oleh musim hujan baru-baru ini. Peniaga telah diberi amaran bahawa harga sayur-sayuran dan buah-buahan boleh meningkat lagi. Memandangkan musim hujan masih belum reda, Malaysia sepatutnya menghentikan eksport ikan dan sayur-sayuran ke negara lain dan mengutamakan permintaan tempatan sehingga musim hujan berakhir.
CAP juga menggesa unit penguatkuasaan KPDN untuk menyiasat kenaikan harga yang mendadak ini, yang telah menyebabkan kesukaran yang ketara kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Kenaikan harga ini boleh memberikan kesan serius kepada diet isi rumah berpendapatan rendah kerana mereka mungkin terpaksa mengurangkan barangan makanan penting kerana kos yang lebih tinggi.
Walaupun gesaan berulang kali agar tindakan diambil, CAP mendapati FAMA tidak mengambil langkah yang mencukupi dan berkesan untuk mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran. Tuntutan kami diabaikan.
CAP menggesa agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkatkan kecekapan saluran pengedaran makanan. Mengurangkan peranan orang tengah, mewujudkan pasaran langsung, dan menambah baik rantaian bekalan yang semuanya ini boleh membantu mengurangkan kos. Kerajaan juga perlu menyokong petani melalui subsidi yang disasarkan, program latihan agroekologi, dan bantuan kewangan, yang boleh meningkatkan pengeluaran dengan ketara dan membantu mengurangkan harga.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 9 Disember 2024