
CAP Menggesa Peralihan Tenaga Adil untuk Masa Depan yang Lebih Selamat dan Hijau
Sempena sambutan Hari Bumi 2025, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia, sektor industri, institusi pendidikan dan seluruh isi rumah untuk mengambil tindakan yang tabah dan segera dalam usaha meningkatkan kecekapan tenaga negara, meminimumkan pembaziran tenaga elektrik serta mempercepat peralihan daripada pergantungan kepada bahan api fosil kepada sumber tenaga boleh diperbaharui yang bersih, selamat dan mampan.
Tema Hari Bumi tahun ini, “Kuasa Kita, Planet Kita”, memperingatkan kita bahawa kuasa untuk melindungi bumi bukan sahaja terletak di tangan kerajaan dan syarikat korporat, tetapi juga dalam tangan setiap individu. Cara kita menggunakan tenaga dan dasar yang kita sokong akan menentukan masa depan planet ini.
Bahan Api Fosil: Ancaman kepada Iklim dan Komuniti
Insiden kebakaran paip gas baru-baru ini di Putra Heights pada 1 April 2025, yang memusnahkan rumah, kenderaan dan mengganggu kehidupan penduduk, menyerlahkan bahaya tersembunyi akibat pergantungan kita terhadap infrastruktur bahan api fosil. Walaupun gas asli sering dipromosikan sebagai alternatif yang “lebih bersih” berbanding arang batu, ia tetap membawa risiko serius terhadap keselamatan, kesihatan awam dan alam sekitar. Metana, iaitu komponen utama gas asli, adalah lebih 80 kali ganda lebih kuat (potent) daripada karbon dioksida sebagai gas rumah hijau.
Walaupun penyiasatan masih dijalankan, tragedi ini harus menjadi peringatan: pergantungan berterusan kita terhadap bahan api fosil mengancam keselamatan manusia dan kelestarian planet ini. Malaysia tidak boleh menganggap insiden ini sebagai kemalangan terpencil semata-mata, sebaliknya ia harus dijadikan satu amaran serius untuk mempercepatkan peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih bersih, selamat dan mampan.
Mengapa Kecekapan Tenaga Penting
Kecekapan tenaga merupakan antara penyelesaian paling berkesan dari segi kos dan boleh dilaksanakan serta-merta untuk menangani krisis iklim. Ia membolehkan kita mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, menjimatkan kos dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api yang mencemarkan – semuanya tanpa menjejaskan kualiti hidup kita. Di Malaysia, sebahagian besar tenaga elektrik masih dijana daripada bahan api fosil, terutamanya arang batu, minyak dan gas asli. Peningkatan kecekapan bukan sahaja membantu mengelakkan keperluan membina lebih banyak loji janakuasa, malah mengurangkan tekanan terhadap grid nasional dan menyokong komitmen negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam tindakan bagi menangani perubahan iklim.
Malangnya, pembaziran tenaga masih berleluasa di bangunan-bangunan, kediaman, kilang dan kemudahan awam. Pendingin hawa sering dipasang pada suhu yang terlalu rendah, lampu dibiarkan menyala walaupun tidak perlu, dan peralatan elektrik yang tidak cekap tenaga masih digunakan secara meluas. Menangani isu ini memerlukan bukan sahaja peningkatan dari segi teknologi, tetapi juga perubahan dalam minda dan tingkah laku masyarakat secara menyeluruh.
Penyelesaian Palsu: Insinerasi Sisa-Kepada-Tenaga
Salah satu contoh penyelesaian palsu ialah insinerasi sisa-kepada-tenage, yang sering dipromosikan sebagai kaedah lestari untuk menguruskan sisa sambil menjana elektrik. Namun begitu, kaedah ini menimbulkan bahan pencemar toksik seperti dioksin, furan, logam berat dan partikel halus. Bahan-bahan ini dikaitkan dengan masalah kesihatan serius termasuk kanser, penyakit pernafasan, kecacatan kelahira dan gangguang perkembangan kanak-kanak.
Selain itu, pembakaran sisa menghalang usaha kitar semula dan pengurangan sisa, serta mengekalkan kita dalam sistem linear yang mencemar. Daripada melabur dalam insinerasi, Malaysia seharusnys mengutamakan strategi sifar sisa seperti pengkomposan, sistem guna semula dan mereka bentuk semula produk ke arah ekonomi kitaran.
Inisiatif CAP dengan komuniti
Di CAP, kami percaya bahawa penyelesaian yang dipacu oleh komuniti serta pendidikan merupakan kaedah berkesan untuk membawa perubahan. Sempena Hari Bumi 2025, usaha kami tertumpu kepada meningkatkan kesedaran tentang tenaga dalam kalangan pelajar, guru dan isirumah.
CAP telah memilih 12 buah sekolah di Pulau Pinang dan Seberang Perai untuk menyertai Projek Penjimatan dan Kecekapan Tenaga. Di setiap sekolah, pelajar telah dilantik sebagai Pengawas Tenaga untuk merekod dan memantau penggunaan elektrik di sekolah masing-masing. Menerusi inisiatif seperti memadam suis lampu dan kipas yang tidak digunakan, mengurus penggunaan makmal komputer, serta menutup papan pintar selepas digunakan, para pemimpin muda ini telah mula memberi impak yang bermakna kepada persekitaran mereka.
Baru-baru ini, kami telah menganjurkan program latihan penjimatan dan kecekapan tenaga untuk guru-guru sekolah di Pulau Pinang di SJK(C) Union pada 17 April, yang melibatkan 94 orang guru. Program ini mendapat panduan praktikal daripada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai meter pintar, tenaga boleh diperbaharui dan petua penjimatan tenaga. Sesi kedua akan diadakan pada bulan Mei untuk guru-guru di Seberang Perai. Bengkel-bengkel ini bertujuan untuk membantu guru-guru mengintegrasikan kesedaran tenaga ke dalam aktiviti kelas dan memperdayakan mereka untuk menjadi tauladan dalam usaha pemuliharaan tenaga di persekitaran sekolah.
Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Bumi, CAP juga akan bekerjasama dengan Penang Green Council (PGC) untuk menganjurkan dua ceramah informatif mengenai “Perubahan Iklim dan Penjimatan Tenaga” serta “Resipi Penyejukan Semula Jadi”. Acara ini akan diadakan pada 22 April 2025 (Selasa), dari jam 9:30 pagi hingga 3:30 petang, di Concourse, Tingkat 3, KOMTAR. Kami mengalu-alukan orang awam untuk menyertai sesi-sesi yang menarik ini dan mempelajari penyelesaian mesra iklim yang praktikal yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, CAP berharap dapat membentuk satu generasi rakyat Malaysia yang celik tenaga, yang akan terus membuat pilihan tepat dengan maklumat yang diperolehi dan bertanggungjawab sepanjang hayat mereka.
Kami menggesa kerajaan untuk mempercepatkan tindakan dalam menangani perubahan iklim, melaksanakan dasar tenaga boleh diperbaharui yang berdaya maju, dan secara berperingkat menghapuskan subsidi yang merugikan untuk bahan api fosil. Pihak perniagaan perlu menggunapakai teknologi penjimatan tenaga, mengurangkan pembaziran tenaga, dan mengambil langkah-langkah kecekapan sumber serta mematuhi peraturan-peraturan alam sekitar.
Kuasa Kita Bergantung pada Tindakan Kita Seterusnya
Tema “Kuasa Kita, Planet Kita” menekankan tanggungjawab yang kita semua kongsi dan peluang yang kita ada untuk membina masa depan yang lebih baik. Kuasa itu bukan hanya berada pada bekalan elektrik kita, tetapi juga pada suara kita, undian kita, tindakan kita dan tuntutan kita untuk dunia yang lebih adil dan lestari.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat kepada Pengarang, 21 April 2025

