Kreativiti dan inovasi kerap dipuji sebagai pencetus kemajuan dalam dunia teknologi, perubatan, komunikasi, seni dan banyak lagi. Ianya sering dilihat sebagai alat untuk memacu perkembangan ekonomi dan sosial. Tetapi apa yang lebih penting ialah ia harus menjadi alat bagi membentuk kehidupan yang lebih bermakna. Dua nilai ini boleh dimanfaatkan untuk mencipta naratif bagi menjadikan kehidupan kita lebih berhala tuju murni. Ia dapat berfungsi sebagai pemangkin dalam mendorong kehidupan yang baik berdasarkan prinsip keadilan, keterangkuman, dan kemampanan.
Hari Kreativiti dan Inovasi Sedunia disambut pada 21 April. Pada hari yang bermakna ini marilah kita merenung makna kreativiti dan inovasi yang lebih mendalam, dan meneliti bagaimana kita boleh menggunakan anugerah ini untuk mengubah kehidupan kita, mengatasi cabaran zaman kini serta menyelesaikan masalah yang mengancam masa depan kita, dan dengan bermatlamat muktamad untuk memelihara dan meningkatkan kemanusiaan.
Berinovasi secara beretika. Kecerdasan Buatan (AI) yang kini menjadi arus perdana boleh menghasilkan algoritma berat sebelah dan teknologi yang mengancam keselamatan, privasi dan kewujudan manusia. Prof Geoffrey Hinton, saintis komputer yang merupakan salah seorang “godfather” pembangunan AI, telah menyuarakan kebimbangan bahawa sistem AI yang berkuasa boleh menjadikan manusia pupus. AI juga berpotensi untuk menghasilkan semula maklumat yang berat sebelah, atau mendiskriminasi terhadap beberapa kumpulan sosial. Penggunaan AI yang tergesa-gesa menghasilkan sistem perkauman dan gender yang berat sebelah, dan mewujudkan polarisasi masyarakat. Syarikat teknologi berlumba-lumba untuk membina sistem AI yang lebih berkuasa sementara penyelidikan terhadap keselamatan AI jauh ketinggalan. Teknologi ini memerlukan pemikiran semula yang mendalam.
Mencipta dengan hati nurani. Telefon pintar merupakan satu lagi teknologi moden yang mewujudkan kebimbangan yang serius. Kita tidak mempunyai kawalan memadai ke atas maklumat peribadi yang dikumpul oleh telefon pintar daripada kita, contohnya data lokasi boleh digunakan untuk mengesan tingkah laku dan pergerakan kita. Aplikasi, laman sesawang, malah sistem operasi telefon itu sendiri, menjejaki kita sepanjang masa bukan sahaja untuk perkhidmatan lokasi, tetapi juga pengiklanan yang disasarkan. Telefon bimbit kini merampas perhatian, masa dan kesejahteraan kita, sekaligus mengawal kita lebih daripada apa yang kita fikirkan. Dan ia telah menjadi alat bagi menyebar berita palsu, pembulian siber, penipuan dan pornografi. Telefon bimbit juga mewujudkan sisa yang tidak diperlukan dan berlebihan kerana banyak telefon tidak dikitar semula dan melakukannya mungkin membahayakan manusia dan planet ini. Telefon pintar merevolusikan kehidupan kita tetapi apakah tempiasnya?
Menyediakan kesaksamaan untuk semua. Ciptaan baharu dan kemajuan teknologi merupakan pemacu utama penciptaan kekayaan bagi inovator dan pelabur, memburukkan lagi ketidaksamaan kekayaan. Sektor teknologi telah menyaksikan bilangan “usahawan tekno” (“technopreneurs”) dan jutawan yang amat banyak telah muncul dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Di Amerika Syarikat (AS), terdapat kebimbangan bahawa AI akan meningkatkan jurang ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan yang begitu besar yang sudah pun dialami oleh negara itu dengan mewujudkan gelombang baharu usahawan teknologi jutawan yang terkemuka dan berpengaruh serta pada masa yang sama menolak ramai pekerja keluar daripada pekerjaan bergaji yang lebih tinggi. Inovasi tidak seharusnya mencipta kekayaan hanya untuk orang tertentu sahaja. Kemajuan sebenar mestilah membawa kekayaan yang saksama bagi semua.
Membina masyarakat yang berdaya tahan. Kreativiti dan inovasi mendorong kita untuk mencipta bukan hanya bagi diri kita sendiri tetapi bagi generasi yang akan datang. Bagaimana kita menggunakannya akan menentukan bagaimana masa depan kita terbentuk. Marilah kita menggunakannya dengan penuh pertimbangan dan tanggung jawab bagi kemajuan sebenar dan membangun masyarakat yang kuat yang dapat menghadapi cabaran dunia kita yang semakin berubah.
Mencabar “status quo” (keadaan sedia ada). Berdepan dengan kerumitan dan kesukaran kehidupan moden, sesetengah masyarakat hari ini telah mencabar “status quo” dan berjaya menggunakan kreativiti sebagai kuasa komunal untuk kemajuan kolektif dan kehidupan yang lebih baik. Di setengah pelusuk dunia, malah juga di Malaysia, terdapat komuniti yang dengan penuh inspirasi telah menghasilkan penyelesaian akar umbi yang inovatif kepada masalah yang dihadapi masyarakat. Dipupuk oleh kerjasama dan pertukaran perspektif, mereka berjaya menyelesaikan masalah alam sekitar, sosial dan ekonomi. Usaha sebegini wajar dicontohi.
Cari jalan yang lebih baik. Kreativiti bukan semata-mata ekspresi seni atau ciptaan, ia adalah intipati daripada apa maknanya menjadi manusia. Kita boleh mencari cara untuk hidup lebih baik, serta melindungi alam sekitar. Contohnya mengurangkan sisa, memikirkan semula tabiat penggunaan, atau menerima pakai teknologi mesra alam yang baharu. Terdapat banyak amalan yang menggabungkan imaginasi dan kepintaran, yang individu, syarikat dan penggubal dasar boleh contohi dan menerima pakai bagi manfaat semua.
1. Kukuhkan ekonomi tempatan
- Hasilkan pengeluaran makanan kita sendiri bagi berdikari dan keterjaminan, bukannya bergantung kepada import.
- Galakkan pertanian bandar sebagai alternatif kepada sistem pertanian makanan semasa yang bukan hanya mewujudkan pembaziran, tetapi juga memisahkan komuniti, dengan kawasan luar bandar menjadi pengeluar utama makanan dan kawasan bandar terpaksa bergantung kepada bekalan makanan daripada luar, dengan demikian mewujudkan jurang antara bandar dan luar bandar.
- Amalkan pendekatan dari kebun ke meja. Ubah cara kita mendapatkan sumber makanan dengan membeli hasil segar secara langsung dari kebun. Sistem ini mengutamakan kemampanan, ketelusan, dan komuniti. Pada masa yang sama, ia mengurangkan pembaziran, mengurangkan jarak pergerakan untuk penghantaran makanan, dan membina hubungan yang lebih kuat dalam kalangan komuniti.
- Sokong perusahaan milik komuniti yang mempromosikan kehidupan mampan (contohnya koperasi yang berfungsi sebagai perantara masyarakat untuk pembelian dan penjualan hasil tanaman dan produk mesra alam) untuk menyokong ekonomi kitaran tempatan.
- “Community currency” atau mata wang komuniti (sistem pertukaran tempatan yang menggunakan mata wang tanpa bunga, yang diedar dan digunakan di lokaliti tertentu yang ditetapkan oleh masyarakat setempat) merupakan inovasi akar umbi yang menyokong peruncit dan membina kemasyarakatan, kini digunakan di banyak tempat. Tujuannya adalah untuk mendukung dan membangun masyarakat yang lebih setara, terhubung, dan berkelanjutan. Mata wang komuniti menjadi alternatif kepada mata wang negara yang rasmi, dengan matlamat menggalakkan perbelanjaan dalam ekonomi tempatan. Konsep ini telah wujud selama beberapa dekad dan terdapat beribu-ribu mata wang komuniti di dunia pada masa kini.
2. Simpan benih untuk memelihara warisan pertanian. Di banyak negara membangun, termasuk Malaysia, petani telah menggunakan proses yang kreatif untuk mengekalkan kepelbagaian benih di kebun mereka dengan memilih dan mengekalkan kualiti benih dalam usaha untuk terus menanamnya di masa depan. Benih ini dipelihara secara turun-temurun. Rizab benih komuniti yang mengumpul benih dan dikelola oleh komuniti sendiri, juga telah ditubuhkan untuk menyokong penyimpanan dan pertukaran benih oleh petani. Menyimpan benih adalah satu pendekatan yang mengurangkan pergantungan kepada pengeluar benih komersial, berpotensi menjimatkan wang dan menggalakkan amalan sara diri dalam pertanian.
3. Hidup secara mampan
- Guna semula barangan lama, seperti menggunakan semula balang kaca sebagai bekas simpanan atau untuk menanam. Ini mampu dibuat oleh setiap individu.
- Pembungkusan mesra alam dan sistem guna semula. Pasar raya dan peniaga tempatan boleh menggunakan pembungkusan semulajadi bagi hasil kebun (contohnya daun pisang) sepertimana yang diamalkan di Thailand dan Vietnam. Ini adalah satu penyelesaian yang baik untuk alam sekitar dan alternatif kepada pembungkusan plastik yang mengancam kesihatan. Untuk mengurangkan pencemaran plastik, kita perlu menjadikan sistem guna semula sebagai satu norma.
Di kala kita meraikan para artis, pencipta, pemikir dan penggerak perubahan, marilah kita bertanya diri sendiri bagaimana kita juga boleh menyumbang, dan apakah idea baharu yang boleh kita terokai, untuk membawa perubahan sebenar dalam kehidupan. Marilah kita mencabar potensi yang luas dan tidak terbatas yang kita miliki untuk berinovasi berlandaskan nilai yang murni, dalam usaha untuk mencipta dunia yang benar-benar lebih baik untuk diri kita dan generasi akan datang.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 19 April 2025


