Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kedah mengambil tindakan segera menghentikan aktiviti pembalakan dan kuari pasir di Bukit Kachi, Sintok daerah Kubang Pasu di sini.
Tindakan tersebut perlu dibuat kerana ia menjejaskan alam sekitar dan mengancam kehidupan penduduk tempatan.
Mengulas laporan akhbar tempatan mengenai masalah ini (Utusan Malaysia, 3 Mei 2020) CAP kesal kerana aktiviti yang boleh menimbulkan kesan buruk ke atas alam sekitar telah dengan sewenang-wenang dibenarkan beroperasi di kawasan berkenaan.
Baru-baru ini 200 penduduk di Sintok meluahkan rasa bimbang berikutan kejadian banjir kilat bersama sisa lumpur yang berlaku di kawasan itu yang didakwa berpunca daripada aktiviti pembalakan dan operasi kuari pasir di Bukit Kachi.
Banjir kilat tersebut membawa bersama pasir, tanah dan sisa kayu balak. CAP percaya jika keadaan ini dibiarkan alam sekitar di kawasan itu akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
Hakisan tanah dari bukit berkenaan boleh menyebabkan saliran dan sungai menjadi cetek. Tanah pertanian berhampiran mungkin terjejas akibat mendapan lumpur dan harta benda penduduk juga akan musnah jika punca masalah ini tidak ditangani segera.
Sehubungan itu CAP meminta Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat secara menyeluruh kejadian yang berlaku dan mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada orang ramai serta tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah itu.
Kenyataan Akhbar/Media, 7hb Mei 2021