Hentikan Penipuan Air Botol: Ia Memusnahkan Alam Sekitar Kita dan Mungkin Tidak Selamat

Pada 2019, nilai jualan air botol di Malaysia ialah kira-kira RM698.45 juta, bermakna rakyat Malaysia membelanjakan sejumlah besar pada tahun itu bagi janji yang diiklankan untuk air yang lebih sihat, tulen dan selamat.

Tetapi realitinya air botol plastik mungkin tidak selamat,tulen atau sihat – ia boleh menjadi toksik, tercemar dan berbahaya, dan ia menjadi ancaman terbesar kepada alam sekitar.

Beratus air botol ditarik balik yang terpaksa dilakukan disebabkan bahan cemar seperti arsenik, cendawan, bacteria najis, yis, dan alga hinggalah minyak tanah, kepingan kaca,  malah zarah cengkerik! Penyelidikan baru-baru ini menemui lebih banyak mikroplastik dalam air botol berbanding air paip.

Pihak berkuasa Singapura mengarahkan penarikan balik air botol dari Malaysia pada Disember 2020 selepas menemui Pseudomonas aeruginosa – bakteria yang ditemui dalamnajis, tanah, air dan kumbahan – di dalamnya. Enam bulan lebih awal ia menarik balik satu lagi jenama air botol dari Malaysia bagi alasan yang sama.

Baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS), terdapat 5 laporan kegagalan hati akut dalam kalangan kanak-kanak dan 11 laporan hepatitis bukan virus dalam kalangan orang dewasa selepas mengambil air botol. Di United Kingdom (UK), air botol Dasani daripada Coca-Cola mempunyai paras bromate yang tinggi pada 2004. Pada 2007, Kanada mengeluarkan amaran terhadap paras arsenic berlebihan dalam air mineral berjenama yang diimport.

MIKROPLASTIK: Jumlah yang tinggi dalam air botol berbanding air paip

Kajian global 2018 mendapati 93% daripada 259 air botol mengandungi mikroplastik – dua kali ganda jumlah kehadirannya dalam air paip.Purata kepekatannya ialah 325 zarah mikroplastik bagi setiap liter air botol.Satu sampel mengandungi lebih daripada 10,000 zarah mikroplastik bagi setiap liter.

Kajian lain pada 2019 mendapati mereka yang meminum hanya air botol mungkin menelan 90,000 zarah bersama dengan air mereka setiap tahun, berbanding dengan hanya 4,000 bagi mereka yang kekal dengan air paip.

BAHAN KIMIA BERBAHAYA/KARSINOGEN

Air botol sering mengandungi pemplastik dan bahan kimia lain, yang mungkin mengganggu system endokrin anda. Kajian di Jerman pada 2013 mengenal pasti hampir 25,000 bahan kimia berasingan dalam air botol – pada paras yang mencukupi untuk menyebabkan paras gangguan hormon yang membimbangkan. Air paip tidak menunjukkan tanda gangguan ini.

Kumpulan KerjaAlam Sekitar (EWG) pada 2008 mendapati air botol mengandungi campuran 38 bahan cemar berbeza, dengan purata 8 bahan cemar ditemui dalam setiap jenama air botol.Ujian menunjukkan bacteria Koliform, kafein, acetaminophen pelega kesakitan, baja, pelarut, bahan kimia untuk membuat plastik dan strontium yang mempunyai elemen radioaktif.

Kajian di Kanada pada 2006 mendapati bahawa botol polyethylene terephthalates (PET) yang disimpan selama 6 bulan melarut resap paras antimoni (bahan kimia toksik) yang ketara daripada plastik ke dalam air.

BAHAYA LEBIH BESAR KEPADA ALAM SEKITAR BERBANDING AIR PAIP

Penyelidik di Barcelona Institute for Global Health, Sepanyol baru-baru ini mengira bahawa jika setiap penduduk di Barcelona bertukar kepada air botol, ini akan memberikan 1,400 kali lebih kesan ke atas ekosistem dan 3,500 kali kos yang lebih tinggi kepada alam sekitar bagi sumber, berbanding jika seluruh kota itu minum air paip.

Di Amerika Syarikat sahaja, pengeluaran air botol menggunakan 1.5 juta tong minyak setiap tahun – lebih daripada yang diambil untuk menjana tenaga untuk 100,000 rumah.Botol plastik yang dibuang mengambil masa 450 tahun untuk terurai.Hampir setiap kepingan plastik yang pernah dibuat masih wujud sehingga ke hari ini.Lebih daripada 5 trilion kepingan plastik sudah pun berada di lautan, dan menjelang 2050 akan terdapat lebih banyak plastic di lautan berbanding ikan, mengikut berat.

Jelas, air botol plastic adalah “kemudahan” bagi dunia moden yang kita tidak memerlukannya. Ia juga 2,000 kali lebih mahal berbanding air paip, berdasarkan angka Amerika.

Pada akhir tahun 2016, 82 sekolah menengah, kolej dan universiti di seluruh dunia telah melaksanakan pengharaman air botol di kampus mereka.

Bandar kecil Bundanoon, New South Wales (Australia) menggubal pengharaman yang sama pada 2009. Majlis Perbandaran juga mengharamkan air botol daripada kemudahan mereka, seperti kota San Francisco, California.

CAP menggesa supaya langkah yang berikut diambil atas alas an kesihatan dan alam sekitar:

  • Kerajaan Persekutuan, negeri dan tempatan perlu mengharamkan air botol daripada kemudahan mereka. Sekolah, kolej dan university juga perlu melakukan perkara yang sama.
  • Menghapuskan penjualan air botol plastik secara berperingkat di Negara ini bagi melindungi kesihatan awam.
  • Menambah baik mutu air paip yang dibekalkan kepada pengguna.
  • Menjadikan air minuman bersih mudah diperolehi di tempat awam dan perhimpunan, mesyuarat serta persidangan.

CAP juga menasihati pengguna untuk mengelakkan air botol komersial. Minumlah air paip yang dimasak – ia lebih selamat, sihat, murah, dan lebih baik untuk alam sekitar.

 

Kenyataan Akhbar, 26 Ogos 2021