Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) sekali lagi menerima aduan daripada komuniti nelayan berhubung projek akuakultur (penternakan udang) di atas tanah hutan paya bakau (laut) milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC). Kali ini di atas tanah seluas 47 ekar di Kuala Bagan Tiang, Kerian, Perak. Dilaporkan kerja-kerja membersihkan kawasan terbabit telahpun dilakukan oleh pihak penyewa yang merupakan sebuah syarikat dan JARING dimaklumkan penduduk kampung sekitar tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan projek tersebut.
Sebelum ini, JARING turut menerima aduan berhubung bantahan komuniti nelayan terhadap projek akuakultur (penternakan udang) di atas tanah hutan paya bakau (laut) milik SADC seluas 200 ekar di Kg. Sungai Betul Bawah, Kerian, Perak. Tanah tersebut juga dilaporkan telah disewakan kepada sebuah koperasi untuk penternakan udang. Jarak antara kedua-dua tanah tersebut adalah sekitar 2 kilometer.
JARING ingin menegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan projek akuakultur (penternakan udang) di atas tanah-tanah milik SADC tersebut adalah bercanggah dengan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kerian 2035 yang telah diwartakan pada 4 Februari 2021 (No. Warta: 310). Berdasarkan semakan JARING, Peta Guna Tanah Cadangan (RTD) Kerian 2035 menunjukkan bahawa status kedua-dua tanah tersebut adalah sebagai ‘hutan’. Justeru, JARING menggesa agar kedua-dua projek tersebut dihentikan segera kerana jelas bercanggah dengan RTD Kerian 2035.
Berdasarkan aduan yang diterima oleh JARING, koperasi dan syarikat yang menyewa tanah-tanah terbabit dilaporkan mempunyai kaitan dengan individu yang sama iaitu seorang Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Perak. Perkara ini menjadi pertikaian banyak pihak terutamanya komuniti nelayan setempat yang pernah memohon agar sebahagian tanah tersebut dibangunkan sebagai penempatan untuk komuniti nelayan berhampiran.
Justeru, JARING menggesa agar kerajaan negeri Perak segera menyiasat isu ini secara menyeluruh dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan tidak wujud sebarang salah guna kuasa dan juga rasuah.
Azrilnizam Omar
Setiausaha JARING
KENYATAAN MEDIA, 10 JUN 2021