Sempena sambutan Hari Ular Sedunia pada 16 Julai, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia untuk mengubah tanggapan salah yang telah lama wujud mengenai ular serta mengiktiraf peranan penting haiwan ini dalam mengekalkan ekosistem yang sihat dan kepelbagaian biologi.
Tema pada tahun ini ialah “Hormati, Jangan Takut: Melindungi Penjaga Alam yang Senyap,” membawa mesej yang kuat untuk mencabar prasangka yang telah lama berakar umbi serta menggalakkan pemahaman yang lebih seimbang mengenai ular dan peranan pentingnya dalam alam semula jadi. Ia merupakan peringatan tepat pada masanya bahawa usaha melindungi ular bukan sekadar menjaga hidupan liar, malah ia juga turut memelihara keseimbangan ekologi yang menjadi asas kepada kesejahteraan manusia. Tema ini menekankan keperluan mendesak untuk menggantikan rasa takut dan tindakan penganiayaan dengan sikap saling memahami, hormat-menghormati, dan usaha pemuliharaan.
Malangnya, rasa takut dan maklumat yang salah terus menyumbang kepada pembunuhan ular yang tidak sepatutnya berlaku. Rasa takut sebegini, yang berpunca daripada salah faham, mendorong tindakan yang memudaratkan hidupan liar serta alam sekitar. Sebagai antara makhluk alam yang paling sering disalah faham dan dipandang serong secara tidak adil, ular bukanlah musuh yang perlu ditakuti atau dibunuh, sebaliknya ia merupakan komponen penting dalam warisan alam kita yang wajar dilindungi.
Hakikatnya, kebanyakan spesies ular tidak berbahaya kepada manusia. Ular tidak secara aktif mencari manusia atau menyerang tanpa provokasi. Malah, secara umumnya ia merupakan haiwan yang pemalu dan suka menyendiri, serta lebih gemar mengelakkan interaksi dengan manusia pada bila-bila masa yang mungkin. Kebanyakan insiden gigitan ular berlaku apabila ular berasa terancam, dipegang, atau dipijak secara tidak sengaja. Hanya sebilangan kecil spesies ular yang berbisa, dan jumlah yang lebih kecil lagi yang menyebabkan kecederaan serius atau kematian kepada manusia.
Selain membetulkan tanggapan yang salah, Hari Ular Sedunia memberi peluang untuk menghargai sumbangan ekologi yang amat bernilai daripada ular. Ia merupakan pemangsa penting yang membantu mengawal populasi haiwan pengerat dan haiwan kecil yang lain. Tikus boleh menyebabkan kerosakan besar pada tanaman, mencemarkan bekalan makanan, serta menyebarkan penyakit yang menjejaskan manusia dan ternakan. Dengan mengawal populasi haiwan pengerat, ular menyumbang secara signifikan kepada produktiviti pertanian dan kesihatan awam.
Khususnya golongan petani mendapat manfaat daripada kehadiran ular di kawasan pertanian. Populasi ular yang sihat menyediakan kaedah kawalan makhluk perosak semula jadi, sekali gus mengurangkan keperluan penggunaan racun makhluk perosak kimia yang boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar. Dengan cara ini, ular menyokong pertanian mampan di samping membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem. Peranannya dalam jaringan makanan juga sama penting, memandangkan ia bertindak sebagai pemangsa dan juga mangsa, yang menghubungkan pelbagai peringkat ekosistem serta menyumbang kepada kepelbagaian biologi.
Ular yang menggali lubang dan hidup di atas tanah, seperti Brahminy Blindsnake, Asian Pipe Snake, dan Sunbeam Snake, turut menyumbang kepada kesuburan tanah dengan mengawal populasi haiwan pengerat penggali yang merosakkan. Dengan berbuat demikian, ia membantu melindungi sistem pengairan dan memelihara struktur tanah.
Selain kepentingan ekologinya, ular juga menyumbang kepada kesihatan manusia. Walaupun bisa ular boleh mendatangkan bahaya, toksinnya amat berharga bagi penyelidikan perubatan. Bisa ular telah membawa kepada penghasilan antivenom yang menyelamatkan banyak nyawa, manakala sebatian yang diperoleh daripadanya telah menyumbang kepada penghasilan ubat-ubatan untuk merawat serangan jantung, strok, dan penyakit kardiovaskular yang lain. Penyelidikan yang sedang dijalankan juga menunjukkan bahawa bisa ular berpotensi besar dalam pembangunan rawatan kanser yang baharu.
Walaupun mempunyai nilai ekologi yang sangat besar, ular menghadapi pelbagai ancaman. Pembandaran yang pesat, penebangan hutan, perluasan kawasan pertanian, dan pembangunan infrastruktur terus memusnahkan serta memecahbelahkan habitatnya. Banyak ular mati di jalan raya ketika bergerak antara kawasan mencari makan dan kawasan pembiakan. Ada juga yang menjadi mangsa perdagangan hidupan liar haram atau dibunuh dengan sengaja akibat rasa takut dan salah tanggapan. Perubahan iklim turut mengubah habitat dan mengganggu kitaran semula jadi yang menjadi pergantungan bagi banyak spesies ular.
Kemerosotan populasi ular sepatutnya menjadi kebimbangan kepada kita semua. Apabila ular lenyap daripada sesuatu ekosistem, populasi haiwan pengerat boleh meningkat secara mendadak, sekali gus mengakibatkan kerugian tanaman yang lebih besar dan risiko penyakit yang lebih tinggi. Ketidakseimbangan sebegini boleh mencetuskan reaksi berantai yang menjejaskan pelbagai spesies lain serta melemahkan daya tahan ekosistem. Oleh itu, usaha melindungi ular bukan sekadar memelihara satu kumpulan haiwan; ia adalah mengenai menjaga kesihatan, kestabilan, dan kepelbagaian biologi keseluruhan ekosistem.
Sempena Hari Ular Sedunia ini, marilah kita menggantikan rasa takut dengan ilmu pengetahuan dan sikap bermusuhan dengan rasa hormat. Walau apa pun pandangan seseorang terhadap ular, haiwan ini tidak seharusnya dibunuh. Hanya dengan menjalankan peranan semula jadinya, ular memberikan sumbangan yang amat berharga kepada manusia dan alam sekitar. Ia tidak mengharapkan sebarang balasan, melainkan agar tidak diganggu.


