
Norway mengambil pendirian tegas berkaitan penggunaan teknologi AI di dalam bilik darjah. Bermula tahun persekolahan 2026, Norway melaksanakan sekatan ketat berasaskan umur terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif di sekolah.
Dasar itu melarang sepenuhnya penggunaan AI bagi murid berusia 6 hingga 13 tahun, mengehadkan penggunaannya bagi pelajar berusia 14 hingga 16 tahun kepada di bawah penyeliaan guru secara langsung, serta membenarkan penggunaan AI secara bebas hanya bagi pelajar berusia 17 tahun ke atas.
Piawaian baharu ini akan dikuatkuasakan bermula tahun persekolahan baharu yang bermula pada penghujung bulan Ogos.
Kerajaan Norway melaksanakan sekatan ini bagi melindungi kemahiran kognitif asas dan mengelakkan pelajar daripada melangkaui peringkat penting dalam pendidikan awal.
Penggunaan AI meningkatkan risiko kanak-kanak kecil melangkaui langkah-langkah penting dalam pendidikan mereka. Pihak berkuasa menyatakan bahawa kanak-kanak perlu menguasai asas-asas pembelajaran terlebih dahulu. Murid-murid perlu belajar membaca, menulis, mengira, berfikir secara kritis, bekerjasama dengan rakan sekelas, dan mencari jawapan sendiri sebelum bergantung pada AI generatif.
Menurut dasar baharu itu, bagi peringkat pendidikan menengah atas (umur 17 hingga 19 tahun), murid-murid perlu belajar menggunakan AI secara wajar agar mereka bersedia untuk melanjutkan pelajaran dan melangkah ke alam pekerjaan.
Norway mula menggunakan komputer di dalam bilik darjah pada 1990-an dan tablet selepas pengenalan iPad mulai 2010, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada buku dan penulisan tangan. Mereka beralih sepenuhnya kepada pendidikan digital. Namun, skor ujian kemudiannya mula merosot.
Dalam satu kenyataan berkaitan baru-baru ini, kerajaan menyatakan hasrat untuk mengusulkan perundangan bagi membiayai penggunaan lebih banyak buku di dalam bilik darjah, sekali gus mengubah trend penggunaan tablet komputer.
Norway juga telah mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan telefon pintar di sekolah. Pada 2024, Norway melarang penggunaan telefon pintar di sekolah berikutan kebimbangan mengenai kemerosotan prestasi murid dan pendedahan berlebihan kepada skrin. Langkah itu juga mengembalikan kuasa kepada guru untuk menguatkuasakan disiplin di dalam bilik darjah.
Susulan langkah itu, satu kajian yang melibatkan lebih 400 sekolah menengah menunjukkan penurunan dalam kes buli. Gred murid meningkat, manakala bilangan kunjungan kepada ahli psikologi sekolah berkurangan sebanyak kira-kira 60%, terutamanya dalam kalangan murid perempuan.
Pada April 2026, kerajaan Norway turut mengumumkan rancangan untuk melarang kanak-kanak menggunakan media sosial sehingga mereka mencapai usia 16 tahun, susulan langkah yang dipelopori oleh Australia dan beberapa negara lain bagi mengurangkan penggunaan peranti elektronik dalam kalangan golongan muda.
Kini, mereka mengambil langkah serupa terhadap kecerdasan buatan (AI) di mana negara itu pernah membekalkan iPad kepada kanak-kanak pada 2010 baharu sahaja mengharamkan penggunaan AI di semua sekolah rendah.
Perdana Menteri, Jonas Gahr Store berterus-terang: kanak-kanak perlu menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira terlebih dahulu. Jika kanak-kanak berusia 9 tahun diberikan akses kepada alat AI, mereka akan mengabaikan ketiga-tiga kemahiran asas itu.
Ketika sebahagian besar dunia berlumba-lumba untuk membawa kecerdasan buatan (AI) ke sekolah, Norway pula mengemukakan persoalan yang jauh lebih besar: apakah perkara yang perlu dipelajari oleh kanak-kanak terlebih dahulu?
Negara yang mempelopori bilik darjah digital itu kini mengambil pendirian paling tegas menentang penggunaan AI dalam pendidikan.
Sumber: Educraft; Reuters (19 Jun 2026)

