Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya membatalkan cadangan untuk membekalkan elektrik kepada pengendali pelombong mata wang kripto memandangkan ia akan memberikan kesan sampingan yang amat serius terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga, dan pemuliharaan. Cadangan untuk membekalkan elektrik kepada pelombong tidak masuk akal kerana melombong mata wang kripto menggunakan jumlah elektrik yang banyak.
Pada asasnya, melombong mata wang kripto melibatkan rangkaian mesin khas, dikenali sebagai pelantar perlombongan, yang berfungsi 24/7. Pelantar dengan 3 kad grafik (unit pemprosesan grafik) boleh menggunakan 1,000 watt tenaga atau lebih apabila ia beroperasi. Dalam kata lain, ia seperti mesin basuh yang beroperasi siang dan malam bagi setiap pelantar yang digunakan. Untuk melombong mata wang kripto, beratus atau beribu pelantar terlibat pada satu masa.
Kami berpendapat melombong mata wang kripto tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali bagi alasan berikut:
- Pada 2018, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa penjanaan elektrik negara sebahagian besarnya bergantung kepada arang batu (46%) dan gas asli (39.7%). Ini bermakna bahawa penjanaan elektrik tidak mesra alam sekitar sepenuhnya, menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida, gas rumah hijau, yang menyumbang kepada pemanasan global.
- Menurut TNB, pengeluaran karbon dioksida dijangka meningkat antara 2018 dan 2023 disebabkan “tambahan loji penjana elektrik gas dan arang batu yang baharu”. Dengan ini, pelepasan mutlak juga dijangka meningkat antara 2018 dan 2023, dengan itu melebihi anggaran karbon. Jika ini ramalannya, maka pengeluaran karbon dioksida akan meningkat lebih tinggi jika TNB membenarkan pelombong mata wang kripto untuk memohon secara sah bagi mendapatkan bekalan elektrik dan apa yang menjadikan TNB begitu pasti bahawa kecurian elektrik akan menjadi perkara yang lepas?
- Pelantar perlombongan itu sendiri menghasilkan begitu banyak haba dan ini menyumbang kepada pemanasan global, sepertimana amaran kajian, penbingkatan suhu lebih daripada 2°C akan memberikan kesan bencana yang amat dahsyat. Kajian menyatakan bahawa ia sudah pun menjadi satu cabaran bagi 176 negara yang meratifikasi Perjanjian Paris untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan memastikan pemanasan global yang disumbangkan secara langsung atau tidak langsung oleh manusia dalam lingkungan 2°C.
- Malaysia merupakan pihak kepada Perjanjian Paris sejak 2016 dan ia perlu meneruskan dengan komitmennya.
- TNB tidak mengambil kira masalah sisa elektronik yang ditimbulkan oleh pelantar perlombongan yang mempunyai jangka hayat purata 1.29 tahun. Selain perkakasan yang rosak, peningkatan pesat perkakasan juga bermakna pelupusan perkakasan generasi lama.
Daripada membenarkan pengendali perlombongan mata wang kripto memohon bekalan elektrik yang sah dan memberikan tarif istimewa, Malaysia seharusnya mempercepatkan pengenalan meter pintar kalis diusik di seluruh negara supaya sebarang kecurian elektrik boleh dikesan pada peringkat awal.
Kami ingin mengulangi pendirian kami bahawa TNB perlu mengelakkan strategi yang tidak berpandangan jauh yang akan membawa kepada peningkatan jejak karbon Malaysia, peningkatan gas rumah hijau dan sisa elektronik.
Kenyataan Akhbar, 18 Mac 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/