JARING GESA BATAL LESEN VESEL PUKAT TUNDA BERNOMBOR GT 2791 DAN SIASATAN TERPERINCI KE ATAS VESEL TUNDA BERNOMBOR KHF1229, PPF988, KF 2065 YANG MENCEROBOH ZON TANGKAP NELAYAN PANTAI A.

1. Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) amat terkejut dan kecewa apabila sebuah vesel tunda yang berdaftar di Pulau Pinang masih lagi bebas beroperasi sedangkan telah banyak melakukan kesalahan berat di bawah Akta Perikanan 1985. Vesel ini merupakan antara vesel tunda yang disenarai hitam oleh nelayan-nelayan pantai di Pulau Pinang kerana kerap menceroboh zon nelayan A terutama di waktu malam. Vesel ini dikenali sebagai ‘Bot Kebal’ dalam kalangan nelayan.

2. Vesel pukat tunda dengan nombor pendaftaran GT 2791 ini telah dilapor menceroboh zon A kurang dari 3 batu nautika dari Muka Head, Pulau Pinang pada 17 Jun 2021 jam 12.30 pagi yang lalu. Vesel ini telah dirakam oleh nelayan-nelayan yang kebetulan berada di kawasan tersebut. Amat menghairankan vesel yang mempunyai rekod sebanyak 17 kesalahan di bawah Akta Perikanan masih lagi dibenarkan beroperasi. Sebanyak 9 kesalahan di bawah perkara 8(a) dan 8 lagi kesalahan adalah di bawah perkara 14(4) (b).

3. JARING percaya terdapat banyak lagi vesel pukat tunda yang mempunyai kesalahan dan rekod yang sama seperti vesel tersebut. Hanya dalam tempoh satu minggu sahaja terdapat 4 pencerobohan vesel tunda berlaku di kawasan Teluk Bahang, Pulau Pinang melibatkan vesel tunda bernombor KHF1229, PPF988, GT2791 dan KF 2065. JARING amat bimbang jika keadaan ini berterusan ianya akan merosakkan laut dan menjejaskan pendapatan nelayan pantai zon A.

4. JARING mula merasa ragu dengan tindakan Jabatan Perikanan dalam menangani perkara ini. Pelan keluar (exit plan) bagi menghapuskan vesel pukat tunda dizon B menjelang 2021 ‘GAGAL’ berkemungkinan atas faktor-faktor dan kelemahan seperti ini. JARING kerap menerima pelbagai aduan daripada nelayan pantai berkenaan pencerobohan vesel tunda di kawasan zon tangkap nelayan A. Malangnya, vesel-vesel ini masih dilihat beroperasi seperti biasa walaupun hukuman yang lebih berat telah digariskan dan diguna pakai seperti dalam pekeliling hukuman lebih berat kepada pengusaha vesel pukat tunda yang mencerobohi kawasan perairan nelayan tradisional (Zon A) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan bertarikh 28 Mac 2014.

5. Oleh Itu, JARING menggesa dan mencadangkan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Jabatan Perikanan agar :

a. Vesel Pukat tunda bernombor GT 2791 dilucutkan lesen dan tidak lagi di benarkan beroperasi. JARING memohon siasatan terperinci ke atas vesel ini dan vesel tunda bernombor KHF1229, PPF988, KF 2065.

b. Satu Jawankuasa Khas bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pemilik dan vesel pukat tunda yang dikenakan tindakan atau hukuman meragukan serta tidak mengikut undang-undang dan pekeliling sedia ada.

c. Setiap tangkapan, tindakan dan hukuman yang diambil oleh Jabatan Perikanan atau penguatkuasa lain harus dipamerkan di laman sesawang Jabatan Perikanan dan boleh diakses oleh orang awam bagi tujuan pemantauan dan semakan.

d. Pelan penghapusan penggunaan pukat tunda harus diteruskan dan perlu disegerakan agar dapat menjamin kelestarian sumber perikanan Negara.

Che Ani Mat Zain

Pengerusi

Persatuan Pendidikan dan Kebajian Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING)

010-530 5437

 

KENYATAAN MEDIA, 21 JUN 2021