JARING GESA KERAJAAN BENARKAN NELAYAN TULEN YANG TIDAK BERLESEN DAN TIDAK MEMILIKI KAD PENDAFTARAN NELAYAN TURUN KE LAUT

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) menyambut baik tindakan kerajaan membenarkan nelayan terus beroperasi (turun ke laut) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Walau bagaimanapun JARING menggesa kerajaan turut memberikan kebenaran kepada nelayan tulen yang tidak berlesen dan tidak memiliki kad pendaftaran nelayan untuk turun ke laut. Berdasarkan tinjauan pihak JARING sebelum ini, sebahagian besar daripada nelayan yang beroperasi di jeti-jeti adalah nelayan yang tidak berlesen dan tidak memiliki kad pendaftaran nelayan.
Ramai dalam kalangan nelayan tidak memiliki lesen dan kad pendaftaran nelayan kerana pengeluaran lesen nelayan bagi perikanan laut pantai termasuk nelayan pantai Zon A telah lama dibekukan oleh kerajaan. Sehubungan itu ramai dalam kalangan nelayan tidak mempunyai pilihan selain terus beroperasi untuk mencari rezeki tanpa memiliki lesen. Sebelum ini hanya ‘lesen khas’ sahaja yang dikeluarkan dengan bilangan yang terhad setiap kali menjelang pilihanraya umum (PRU).
Justeru, JARING berpendapat adalah amat wajar kerajaan membenarkan nelayan yang tidak memiliki lesen turut beroperasi untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka ketika wabak COVID-19 melanda negara. Dalam masa yang sama mereka juga turut menyumbang kepada jaminan bekalan (food security) hasil laut negara dan ketiadaan mereka bakal menjejaskan bekalan hasil laut di sesetengah lokasi.
Persatuan nelayan wajar mengeluarkan surat sokongan bagi membolehkan nelayan tulen yang tidak berlesen dan tidak memiliki kad pendaftaran nelayan turun ke laut. Selain itu, JARING juga menggesa agensi penguatkuasaan memastikan semua nelayan yang beroperasi hanya menggunakan alat tangkap yang dibenarkan Akta Perikanan 1985 dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi memelihara sumber perikanan negara.
Faizal Zabri
Timbalan Pengerusi
019-420 7653