JARING GESA KERAJAAN PASTIKAN RANTAIAN BEKALAN (SUPPLY CHAIN) SEKTOR PERIKANAN TERUS BEROPERASI SEMASA PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) 3.0

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) menyambut baik pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021 untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Walau bagaimanapun JARING meminta kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi berkaitan perikanan iaitu Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memastikan rantaian bekalan (supply chain) sektor perikanan dapat terus beroperasi dengan mematuhi ‘Standard Operating Procedure (SOP)’ yang ditetapkan.

JARING berharap kejadian para nelayan (khususnya nelayan pantai) tidak dapat menjual hasil tangkapan walaupun dibenarkan ke laut seperti yang berlaku semasa peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sebelum ini tidak akan berulang. Isu peraih enggan membeli hasil tangkapan dan masalah logistik (pengangkutan) hasil laut yang berlaku semasa PKP 1.0 perlu ditangani sebaiknya oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab.

Justeru JARING sekali lagi menggesa kerajaan agar menangani isu rantaian bekalan sektor perikanan ini dengan sebaiknya bagi memastikan kehidupan komuniti nelayan tidak terjejas dan juga supaya jaminan bekalan hasil laut (food security) negara tidak terganggu kerana ianya boleh menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan serta kenaikan harga di pasaran.

 

KENYATAAN MEDIA, 31 MEI 2021