Jakarta, 9 September 2026 – Friends of the Earth Asia Pacific (FoE APAC) berasa kesal berikutan krisis jerebu rentas sempadan yang berulang di Asia Tenggara, apabila kini, asap daripada kebakaran hutan dan tanah yang sedang berlaku di Indonesia, khususnya di wilayah Kalimantan, dilaporkan telah sampai ke negara-negara jiran seperti Malaysia dan Filipina. Ahli FoE APAC iaitu Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI), Sahabat Alam Malaysia (SAM), dan Legal Rights and Natural Resources Center (LRC) memberi amaran bahawa kejadian berulang jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara tidak boleh lagi dianggap sebagai bencana bermusim, tetapi merupakan krisis ekologi yang menjurus kepada sebuah ekosid. Jerebu rentas sempadan terjadi akibat daripada kemusnahan hutan dan tanah gambut, tadbir urus alam sekitar yang lemah, serta kegagalan kerajaan untuk mempertanggungjawabkan syarikat korporat yang menyebabkan kebakaran hutan dan tanah itu.
FoE APAC menggesa tindakan segera diambil bagi menangani punca struktural krisis ini serta melindungi penduduk di seluruh Asia Tenggara daripada terus terdedah secara berulang kali kepada pencemaran udara yang berbahaya.
Kesan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah, yang merentasi sempadan pentadbiran dan negara, telah dirasai secara langsung oleh jutaan penduduk di beberapa negara Asia Tenggara. Penduduk terpaksa berdepan dengan ancaman kesihatan, kehilangan hak untuk menikmati udara bersih, serta gangguan terhadap aktiviti harian, pendidikan, dan punca pendapatan mereka. Golongan rentan termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas, Orang Asal, dan komuniti yang tinggal berhampiran kawasan terjejas merupakan pihak yang paling teruk terkesan akibat krisis yang berulang ini. Oleh itu, FoE APAC menggesa kerajaan Indonesia supaya segera memikul tanggungjawab terhadap krisis ini.
FoE APAC turut menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap krisis ini tidak terletak pada kerajaan Indonesia semata-mata. Syarikat yang beroperasi, mempunyai pelaburan, memegang saham, menjalin hubungan perniagaan, atau memegang kawalan ke atas industri perladangan dan perhutanan di Indonesia juga mesti dipertanggungjawabkan. Ini termasuklah syarikat dan kumpulan perniagaan yang mempunyai hubungan permodalan, kepentingan pemilikan, atau kawalan dari Singapura dan Malaysia. WALHI mendapati bahawa beberapa buah syarikat, sama ada yang berpangkalan secara langsung di kedua-dua negara itu mahupun yang sahamnya disenaraikan negara-negara ini, telah mengalami kejadian kebakaran, antaranya Wilmar International Group, Sinar Mas Group, dan Genting Group. Negara asal modal dan syarikat-syarikat itu sendiri tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab apabila mereka meraih manfaat ekonomi daripada industri yang beroperasi di Indonesia, sementara kos ekologi dan sosial ditanggung oleh rakyat Indonesia serta penduduk negara-negara Asia Tenggara yang lain.
“Setelah meratifikasi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan melalui Undang-Undang No. 26 Tahun 2014, Indonesia mempunyai kewajipan untuk memastikan langkah-langkah pencegahan kebakaran dilaksanakan secara serius dan berkesan. Sebaliknya, adalah tidak adil bagi negara-negara jiran untuk hanya mendakwa diri mereka sebagai mangsa sementara syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan ekonomi mereka mengaut keuntungan daripada industri yang mencetuskan kebakaran hutan dan tanah. Singapura dan Malaysia mestilah memastikan syarikat-syarikat ini bertanggungjawab,” tegas Boy Jerry Even Sembiring, Pengarah Eksekutif WALHI.
FoE APAC berpendapat bahawa kebakaran hutan dan tanah gambut yang berulang bukanlah sekadar isu kegagalan teknikal dalam usaha memadamkan kebakaran. Krisis ini berpunca daripada kerosakan sistematik terhadap ekosistem hutan dan tanah gambut akibat penebangan hutan, penyaliran tanah gambut, perluasan ladang monokultur, serta pengawasan yang lemah terhadap aktiviti korporat. Apabila kerosakan sebegini berlaku secara besar-besaran dan berulang kali, serta mengakibatkan kesan serius dan berpanjangan terhadap kehidupan manusia dan ekosistem, masyarakat antarabangsa mestilah mula menganggapnya sebagai satu bentuk jenayah alam sekitar yang menuntut akauntabiliti yang lebih tegas.
“Sudah terlalu lama penduduk Asia Tenggara menanggung beban akibat kemusnahan ekologi yang berulang. Apabila hutan dan tanah gambut musnah, kebakaran tidak mengenal sempadan negara; oleh itu, akauntabiliti juga tidak seharusnya terhenti pada sempadan negara. Syarikat korporat, pemilik modal, dan negara-negara yang menjadi hab pelaburan, kesemuanya mestilah dipertanggungjawabkan,” kata Meenakshi Raman, Presiden SAM.
Oleh itu, FoE APAC menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk memperkukuh pengiktirafan serta pembangunan rangka kerja undang-undang antarabangsa mengenai ekosid, khususnya yang berkaitan dengan kemusnahan alam sekitar secara besar-besaran dan sistematik yang mengakibatkan kerosakan teruk serta berpanjangan. Kebakaran hutan dan tanah gambut yang memusnahkan hutan dan tanah gambut, membebaskan sejumlah besar pelepasan karbon, merosakkan biodiversiti, mengancam nyawa penduduk, dan menyebabkan pencemaran rentas sempadan tidak boleh lagi dianggap sekadar isu pentadbiran atau bencana tahunan semata-mata.
Pengiktirafan terhadap ekosid adalah penting bagi memastikan kemusnahan alam sekitar secara besar-besaran tidak lagi dipandang sebagai akibat yang boleh diterima daripada aktiviti ekonomi dan pembangunan. Dunia memerlukan mekanisme perundangan yang lebih kukuh bagi memastikan negara, syarikat korporat, pemilik modal, dan pihak yang mengaut keuntungan daripada kemusnahan alam sekitar tidak dapat terus mengelak daripada bertanggungjawab.
Bagi komuniti di negara yang terjejas, masalah jerebu rentas sempadan turut menunjukkan bahawa isu alam sekitar di sesebuah negara boleh secara langsung menjadi kebimbangan kesihatan dan keselamatan bagi komuniti di negara lain. Oleh itu, penyelesaian krisis ini memerlukan kerjasama serantau yang lebih mantap, melangkaui sekadar respons diplomatik setelah jerebu merentasi sempadan negara. ASEAN mestilah memastikan ketelusan berhubung punca kebakaran, keadaan kawasan hutan dan tanah gambut, serta syarikat-syarikat yang beroperasi di wilayah yang terjejas.
“Penyelesaian jangka panjang bagi krisis jerebu tidak dapat dicapai tanpa perubahan asas dalam tadbir urus hutan dan tanah. Negara-negara di rantau ini mestilah mempunyai keberanian untuk menangani punca utama masalah ini, termasuk model pembangunan yang terus mendorong eksploitasi sumber semula jadi serta meningkatkan kerentanan ekosistem terhadap kebakaran,” kata Mai Taqueban, Pengarah Eksekutif LRC.
Friends of the Earth Asia Pacific menggesa rakyat Indonesia, Malaysia, dan seluruh penduduk Asia Tenggara untuk membina solidariti merentas sempadan dalam menghadapi krisis ini. Jerebu merentas sempadan bukanlah masalah yang terhad kepada sesebuah negara sahaja, dan ia juga bukan bencana alam yang perlu diterima sebagai kejadian tahunan. Orang ramai mestilah bersatu untuk menuntut hak mendapatkan udara bersih, kesihatan yang baik, dan persekitaran yang sihat. Orang ramai juga mestilah terus mendesak kerajaan supaya mendedahkan maklumat, menguatkuasakan undang-undang, dan memastikan syarikat yang menyebabkan kerosakan tidak terus mengaut keuntungan sementara orang ramai menanggung kos ekologi dan sosial.
– Kenyataan akhbar bersama oleh Friends of the Earth Asia Pacific: Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI), Legal Rights and Natural Resources Center (LRC), Sahabat Alam Malaysia (SAM)


