
Dunia kini dijangka melepasi ambang pemanasan global 1.5°C dan usaha menurunkan semula suhu mungkin menjadi salah satu cabaran terbesar yang pernah dihadapi oleh manusia.
Satu laporan baharu daripada Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menyatakan bahawa peningkatan suhu melebihi 1.5°C berbanding paras praindustri kini dianggap tidak dapat dielakkan, dan berkemungkinan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Buat pertama kalinya, tumpuan beralih daripada mencegah sepenuhnya kepada mengehadkan tahap kenaikan suhu, berapa lama ia suhu kekal tinggi, serta sama ada suhu itu akhirnya boleh diturunkan semula.
Menurut senario paling optimistik UNEP, pemanasan global akan memuncak pada sekitar 1.8°C sebelum menurun ke arah 1.5°C pada lewat abad ini. Pencapaian matlamat itu memerlukan pengurangan segera dan berterusan dalam pelepasan gas rumah hijau, bagi mencapai tahap sifar bersih dan akhirnya beralih kepada pelepasan “negatif bersih” iaitu menyingkirkan lebih banyak karbon dioksida daripada atmosfera berbanding jumlah yang dilepaskan oleh manusia.
Langkah terakhir itulah cabaran menjadi sangat besar.
Menurunkan semula suhu ke bawah paras 1.5°C berkemungkinan besar memerlukan penyingkiran karbon dioksida secara besar-besaran, di samping pengurangan drastik dalam pelepasan bahan api fosil. Saintis memberi amaran bahawa penyingkiran karbon tidak boleh menggantikan usaha mengurangkan pelepasan, dan melaksanaannya pada skala yang diperlukan akan berdepan dengan halangan besar dari segi teknologi, ekonomi, alam sekitar dan politik.
Malah, sekiranya suhu akhirnya kembali menurun, sebahagian kerosakan yang berlaku semasa tempoh suhu melampaui had itu mungkin bersifat kekal. UNEP memberi amaran bahawa setiap peningkatan suhu walaupun sedikit dan setiap tahun tambahan suhu melebihi 1.5°C meningkatkan risiko cuaca ekstrem, kemusnahan ekosistem serta titik perubahan yang mungkin tidak dapat dipulihkan, melibatkan lapisan ais, hutan hujan Amazon dan sistem peredaran lautan utama.
Mesejnya kini bukan lagi sekadar “kekal di bawah 1.5°C”. Sebaliknya, tumpuan kini beralih kepada: meminimumkan tahap suhu yang melampaui had itu, memendekkan tempoh masa keadaan itu berlaku, serta mencegah pelanggaran had sementara itu daripada berubah menjadi pemanasan jangka panjang yang jauh lebih tinggi.
Sumber: “Limiting Overshoot: Navigating Exceedance of 1.5°C and Pathways Towards Return”, September 2026, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), seperti yang dipetik dalam Science Explorist.
“Perjuangan Demi Kemanusiaan”: Mengelakkan Bencana Iklim Bermakna Bertindak Sekarang
Gelombang haba yang memecahkan rekod, banjir yang membawa maut dan cuaca ekstrem mencerminkan keadaan planet yang semakin panas dan bakal melangkaui had suhu selamat tidak lama lagi, menurut laporan PBB yang dikeluarkan pada 2 September 2026 namun tindakan iklim yang lebih tegas dan segera mampu mengelakkan bencana iklim.
Cuaca panas terik di hemisfera utara sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kebakaran hutan yang marak serta banjir yang meragut nyawa merupakan amaran mengenai apa yang bakal dihadapi, kata Setiausaha Agung PBB, António Guterres.
Beliau mengimbas kembali Perjanjian Paris 2015 yang bersejarah mengenai perubahan iklim, di mana para pemimpin dunia berikrar untuk mengekalkan kenaikan suhu pada had 1.5°C melebihi paras pra-industri iaitu satu langkah yang disifatkan oleh saintis sebagai kritikal untuk mengelakkan kemusnahan iklim yang paling buruk.
Hakikatnya, dunia gagal menunaikan janji itu, menurut laporan baharu daripada Program Alam Sekitar PBB (UNEP).
“Perjuangan demi had 1.5 darjah ini adalah perjuangan demi kemanusiaan,” ujar beliau. “Kita bakal melangkaui had 1.5°C itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.”
“Setiap perubahan kecil suhu akan mengorbankan nyawa”
Tiada hasil yang baik jika suhu kekal melebihi 1.5°C secara berterusan, Ketua UNEP, Inger Andersen memberi amaran.
“Di seluruh dunia, gelombang haba ekstrem sudah pun membuktikan bahawa kesan iklim akan berlaku dengan lebih pantas, melanda dengan lebih kuat, dan berlarutan lebih lama, sekali gus mengorbankan lebih banyak nyawa serta menyebabkan gangguan yang lebih serius,” katanya.
“Kini tiba masanya kita melipatgandakan usaha dalam tindakan iklim. Kita mampu dan mesti beralih ke landasan yang betul. Dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, memperkukuh daya tahan dan penyesuaian, serta memastikan tempoh suhu melebihi 1.5°C adalah seminimum dan sesingkat mungkin.”
Ketua PBB turut bersetuju.
“Setiap perubahan kecil suhu akan meragut nyawa, memusnahkan mata pencarian, memburukkan lagi ketidaksamaan dan menolak ekosistem semakin hampir kepada kerosakan yang tidak dapat dipulihkan,” kata Setiausaha Agung itu. “Manusia sedang melangkaui had untuk mengelakkan bencana iklim dengan pantas.”
“Penyelesaiannya sudah tersedia”
Walau bagaimanapun, tindakan iklim yang pantas boleh menyelamatkan dunia daripada ambang kehancuran, kata Guterres.
“Kita masih boleh mengembalikan suhu kepada paras di bawah 1.5°C menjelang akhir abad ini,” katanya. “Kita mestilah memastikan tempoh suhu melangkaui had itu adalah sesingkat dan serendah mungkin, dengan mengehadkan peningkatan suhu serta tempoh masa suhu kekal melebihi paras 1.5°C.”
Ia menuntut “cita-cita yang melangkaui jangkaan” melalui usaha mempercepatkan penamatan penggunaan bahan api fosil dan revolusi tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pencemaran metana secara drastik, serta melindungi tanah, hutan dan lautan, katanya lagi.
Ini juga bermakna kerajaan perlu melangkaui sasaran dalam pelan iklim nasional, komitmen sifar bersih dan sebagainya, dan negara maju mestilah melipatgandakan pembiayaan untuk usaha penyesuaian iklim serta memastikan dana itu sampai kepada pihak yang paling terdedah kepada risiko.
“Bukti saintifiknya jelas,” kata Guterres. “Penyelesaiannya sudah tersedia, dan dunia kini berada pada kedudukan terbaik untuk melaksanakannya. Inilah masanya untuk meningkatkan cita-cita dan mempercepatkan tindakan.”
Sorotan daripada laporan baharu itu:
● Sekiranya suhu meningkat melebihi 1.5°C, risiko dan kesannya akan menjadi semakin buruk dengan setiap peningkatan suhu walaupun sedikit serta peredaran masa; ini termasuk cuaca ekstrem yang lebih dahsyat, kehilangan ekosistem, dan penenggelaman negara pulau kecil yang sedang membangun serta bandar pesisir pantai yang rendah, di samping kerosakan teruk terhadap kesihatan manusia, keselamatan makanan, bekalan air, alam semula jadi, bandar, infrastruktur dan ekonomi.
● Kebarangkalian untuk melepasi titik perubahan yang tidak boleh berbalik meningkat selaras dengan tahap keterukan dan tempoh suhu yang lebih tinggi, termasuk ketidakstabilan lapisan ais utama dan kemerosotan hutan hujan Amazon.
● Usaha pengurangan dan penyesuaian mestilah bergerak seiring, dengan mengutamakan langkah-langkah seperti penyejukan berasaskan alam semula jadi.
● Sasaran sifar bersih merupakan satu pencapaian penting ke arah negatif bersih dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara berterusan.
● Faktor bagi kejayaan merangkumi iltizam politik yang kukuh dan semangat multilateralisme, dasar yang berkesan, tadbir urus yang inklusif, serta aspek pembiayaan.
● Negara-negara yang memikul tanggungjawab lebih besar terhadap perubahan iklim harus bertindak paling pantas dengan iltizam yang paling tinggi.
– daripada laporan PBB, ‘Fight for Humanity’: Avoiding a Climate Catastrophe Means Acting Now (2 September 2026)
https://news.un.org/en/story/2026/09/1168240

