Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan ia sebagai memalukan Malaysia apabila Polis Persekutuan Australia (AFP) memintas penghantaran 336 kg heroin bernilai RM795 juta dari Malaysia ke Brisbane. Rampasan itu disifatkan sebagai “kedua terbesar dalam rekod” Australia.
Sekiranya AFP tidak menemui penghantaran itu, 336 kg itu akan memusnahkan nyawa beribu-ribu orang. Di seluruh dunia lebih daripada 106,200 orang mati akibat pengambilan berlebihan dadah manakala sebanyak 35 juta orang berhadapan dengan penyalahgunaan atau ketagihan bahan dalam beberapa bentuk pada 2021.
Amat sukar untuk memahami bagaimana blok konkrit dengan heroin sebanyak itu boleh terlepas daripada pengesanan pihak berkuasa Malaysia. Untuk penghantaran yang begitu besar, ia melibatkan dalang serta ramai orang di pelbagai peringkat operasi.
Oleh sebab itu, kami menggesa pihak berkuasa Malaysia agar melancarkan siasatan dengan bekerjasama dengan AFP untuk menangkap semua mereka yang terlibat tanpa mengira status sosial atau pekerjaan mereka. Aktiviti haram itu amat memalukan terutamanya apabila percubaan itu tidak dikesan di banyak peringkat di Malaysia sehinggalah ia tiba di Australia.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 9 Mei 2023