Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut dan marah apabila gambar feri ikonik ‘Pulau Pinang’ hampir tenggelam muncul dalam media sosial yang diposkan oleh warga maya pada 5 Jun 2021.
Jika berita feri ini tidak muncul dalam media sosial, adakah Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC – Penang Port Commission) akan mengarahkan kontraktor untuk mengepam keluar air? Adakah akan diumumkan bahawa feri itu akan dijadikan muzium? Paling penting, kenapa badan feri tidak dibaiki sebelum air laut menghakisnya? Tidakkah lebih mahal untuk membaiki lubang pada badan feri kini dan perlu mengepam keluar air laut daripada dalam feri?
Seperti apa yang Queen of Hearts dalam Alice in Wonderland kata, “Off with their heads!” Tiada alasan dalam perkara ini kenapa feri tidak boleh diselenggara dalam keadaan yang baik walaupun enjinnya tidak dapat dibaiki.
Ini benar-benar memalukan kerana ia menunjukkan pengabaian sepenuhnya terhadap apakah maknanya feri kepada Pulau Pinang dan ia juga menunjukkan kelalaian dalam tugas sebahagian daripada pihak pengurusan dan kakitangan yang bertanggungjawab terhadap feri itu. Oleh itu, mereka yang bertanggungjawab perlu memberikan penjelasan terhadap perkara ini dan mendedahkan hasil siasatan kepada umum. Mereka yang bertanggungjawab perlu dipecat jika terdapat elemen kecuaian. Sekiranya tidak, maka tiadalah akauntabiliti.
Dilaporkan bahawa feri ini akan diubah fungsinya bagi tujuan lain apabila feri ini tidak lagi digunakan. Kemudian untuk melihat feri ini hampir tenggelam menunjukkan bahawa PPC mungkin tidak berterus terang dalam perkara ini. Mana-mana entiti perniagaan akan memastikan aset mereka dijaga sepenuhnya. Selain daripada menjaga kepentingan penduduk Pulau Pinang, PPC kelihatan tidak menjaga aset mereka sendiri. Mungkin rancangan mereka untuk melupuskan feri-feri itu.
Melihat keadaan feri ‘Pulau Pinang’ yang amat menyedihkan itu, kami menggesa pihak berkuasa mendedahkan status lengkap lapan lagi feri lain iaitu Feri Pulau Labuan, Pulau Rawa, Pulau Talang-Talang, Pulau Undan, Pulau Rimau, Pulau Angsa, Pulau Kapas, dan Pulau Payar. Kita perlu ingat bahawa beberapa feri ini hanya dihenti perkhidmatannya pada awal tahun ini.
Kenyataan Akhbar, 6 Jun 2021