KEADAAN JALAN RAYA DI PULAU PINANG MENANDAKAN MUTU KERJA YANG TERUK

Jalan yang rosak di Persiaran Minden.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mengkaji semula piawaian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya memandangkan banyak jalan berlubang dan permukaan jalan tidak rata yang mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Dalam tinjauan CAP baru-baru ini, kami mendapati antara jalan utama yang rosak adalah di Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Jelutong, Jalan Perak, Jalan Bukit Gambir, dan beberapa jalan lain di kawasan perumahan.

Lubang yang besar di Jalan Bukit Gambir.

Dengan peningkatan kenderaan bermotor yang banyak terutamanya kereta persendirian di jalan raya Pulau Pinang dalam tempoh sepuluh tahun, adalah amat penting bagi jalan raya ini  diselenggara dengan baik.

Kontraktor yang ditugaskan untuk membina, menyenggara dan mengekalkan jalan perlu  bertanggungjawab terhadap sebarang kerja jalan yang teruk yang mengakibatkan jalan berlubang dan permukaan jalan tidak rata.  Berulangnya kejadian jalan yang lubang dan permukaan yang tidak rata hanya menunjukkan kerja yang dijalankan adalah itu adalah amat teruk.

Ia perlu dijadikan prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk menjalankan pemeriksaan secara mingguan di semua jalan raya. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu mencontohi negara jiran kita, Singapura, dalam memastikan jalan raya mereka berada dalam keadaan terbaik.

Jalan yang rosak di Bayan Baru.

Jalan yang rosak adalah berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya jika Pulau Pinang menjangkakan kemasukan pelancong yang lebih besar semasa musim cuti atau perayaan.

Langkah-langkah pembaikan segera perlu diambil untuk memastikan jalan raya kita tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang menyebabkan kerosakan pada pengantungan dan penyerap hentak kenderaan.

 

Mohideen Abdul Kader
President
Consumers Association of Penang (CAP)

Press Statement, 3 October 2024