Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin membuat respon terhadap rencana di dalam akhbar The Star, 15 Julai 2024 bertajuk “Malaysia is well positioned as a promising regional hub for CCUS“. Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dalam beberapa tahun kebelakangan ini acap kali diketengahkan oleh syarikat bahan api fosil sebagai “penyelesaian iklim”. Malangnya, pandangan yang dinyatakan oleh MIDF Investment Bank dalam rencana tersebut tidak menyentuh rekod buruk pelaksanaan CCS dalam beberapa dekad yang lalu yang sarat dengan perjanjian prestasi yang tidak ditepati serta kos pelaksanaan yang melambung tinggi.
Rencana tersebut mempamerkan penilaian berat sebelah berpihak kepada pelaksanaan CCUS yang secara intipatinya adalah untuk memanjangkan jangka hayat eksploitasi bahan api fosil dan bukannya sebagai solusi tulus untuk mengurangi kebergantungan terhadap sumber bahan api tersebut. Malangnya, rencana itu juga hanya membangkitkan risiko-risiko pelaksanaan CCUS secara sepintas lalu dan tidak menghuraikan bagaimana risiko-risiko tersebut dapat ditangani.
CCUS adalah proses “pengangkapan” karbon dioksida (CO2) yang dihasilkan oleh aktiviti industri yang melepaskan sisa karbon yang tinggi seperti penghasilan tenaga elektrik dari pembakaran arang dan gas. Karbon yang ditangkap kemudiannya digunakan bagi pelbagai tujuan, akan tetapi penggunaan utama bagi karbon yang ditangkap oleh proses tersebut adalah bagi pengambilan semula minyak yang dipertingkatkan (EOR), satu proses di mana karbon akan dibenamkan ke dalam sesebuah telaga minyak bagi meningkatkan jumlah minyak yang boleh diekstrak daripada telaga minyak tersebut. CCS pada asasnya adalah sama, perbezaanya adalah karbon yang ditangkap akan disimpan dan bukannya digunakan. Menurut Institute for Energy Economics and Financial Analysis (IEEFA) pada 2021, 73% daripada karbon yang ditangkap secara global digunakan bagi tujuan EOR. Oleh sebab itu, biarpun diketengahkan sebagai solusi pengurangan karbon, CCUS secara keseluruhan sebenarnya menghasilkan lebih banyak pelepasan karbon kerana ia membolehkan pengekstrakan minyak yang lebih banyak dari asal melalui proses EOR.
Advokat-Advokat CCUS akan sentiasa mendakwa bahawa proses tersebut akan dapat menangkap 90% dari jumlah pelepasan sisa karbon. Walau bagaimanapun, tiada lagi pelaksanaan CCUS di dunia yang pernah mencapai tahap penangkapan karbon sedemikian. Sebaliknya, CCUS secara kolektif mempunyai sejarah prestasi yang mengecewakan. Menurut laporan oleh Energy Transitions Commission (ETC), sebuah gabungan pemimpin global dari industri tenaga, kemudahan CCS terbesar di dunia di loji gas asli cecair (LNG) Gorgon di Australia hanya berjaya menangkap 45% daripada jumlah pelepasan sisa karbon; Quest Oil di Alberta, Kanada mempunyai kadar penangkapan sebanyak 48% dan loji pemprosesan gas Century di Texas, Amerika Syarikat, mempunyai anggaran kadar penangkapan di bawah 10%.
Loji CCS di Kasawari, Sarawak, yang dianggarkan akan menelan perbelanjaan sebanyak RM4.5 billion apabila ia mula beroperasi, akan menjadi loji CCS luar pesisir terbesar di dunia. Jika ia meneruskan arus kegagalan pelaksanaan CCUS, Malaysia perlu menghadapi sumber pelepasan yang sangat besar yang akan menjadi satu liabiliti yang besar terhadap alam sekitar dan ekonomi negara .
Isu paling kritikal berkait CCS adalah memastikan karbon yang disimpan kekal di dalam pusat penyimpanan yang merupakan satu potensi liabiliti jangka masa panjang. Terdapat keperluan bagi Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menilai semula implikasi keseluruhan Rang Undang-Undang CCUS yang akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini, termasuk menilai secara kritikal kadar penangkapan yang disasarkan dengan penilaian dan perbahasan yang lebih teliti sebelum teknologi ini diterima sebagai penyelesaian iklim yang mampan.
Pelaksanaan CCUS memerlukan perbelanjaan yang tinggi biarpun hanya mampu mengurangi pelepasan karbon pada kadar yang sangat kecil. Perkara ini amat ketara apabila mengamati Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), di mana CCUS ditetapkan hanya mampu mengurangkan 5% dari kadar pelepasan karbon sektor tenaga menjelang 2050, walaupun kos dianggarkan sekitar RM25-30 bilion antara 2023 – 2029, dan RM160-RM170 bilion jika dikira dari 2023 – 2050.
Daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diperlukan oleh NETR menjelang 2050 iaitu sekitar RM1.2 – RM1.3 trilion, CCUS dengan sendirinya akan memerlukan RM160 – 170 bilion, kira-kira 13.1% daripada jumlah kos, biarpun hanya mampu untuk memberikan 5% penurunan daripada jumlah pelepasan karbon. Jurang besar di antara kos serta kadar pengurangan karbon ini memerlukan lebih penelitian oleh pihak kerajaan.
Tambahan pula, menurut publikasi International Institute for Sustainable Development (IISD), di samping perbelanjaan modal yang tinggi, CCS memerlukan peraturan dan sokongan kewangan kerajaan yang besar serta berterusan yang akan mengalihkan perbelanjaan kerajaan yang sebaliknya boleh ditujukan kepada solusi-solusi iklim yang lebih berkesan dan mesra kos.
Menurut Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), jika dibandingkan dengan penggunaan langkah mitigasi iklim yang lebih terbukti seperti penggunaan besar-besaran tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar, CCS merupakan opsyen yang termahal biarpun mengurangkan pelepasan karbon tersedikit. Selain itu, penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Oxford mendapati bahawa biarpun teknologi CCS telah menjalani pembangunan selama 40 tahun, tiada pemajuan teknologi atau pengurangan kos yang dapat diamati sehingga kini dalam mana-mana proses pelaksanaan CCS, yang menjadikan kebarangkalian pengurangan kos CCS pada masa hadapan sangat rendah.
Risiko alam sekitar, sosial dan kesihatan juga menjadi kebimbangan. Seperti yang didedahkan dalam laporan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bertuan mengenai kesan toksik beberapa solusi perubahan iklim yang dicadangkan, proses CCS memerlukan sumber bahan kimia yang besar dan berpotensi melepaskan ammonia yang sangat toksik kepada komuniti setempat. Karbon jika berada pada kadar konsentrasi yang tinggi merupakan gas toksik dan asfiksia yang boleh mengganggu peredaran darah, koma dan menyebabkan kematian. Terdapat juga risiko yang berkaitan dengan kebocoran di mana kebocoran kepada formasi geologi berdekatan boleh menyebabkan tindak balas geokimia, termasuk rangsangan aktiviti seismik seperti gempa bumi dan menyebarkan elemen-elemen yang pencemaran seperti logam berat yang boleh meracuni sumber air.
Jelas sekali bahawa CCUS/CCS bukanlah satu penyelesaian iklim yang seringkali digembar-gemburkan. Zahirnya CCUS/CCS adalah cacat dan digunakan sebagai alasan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam memastikan industri bahan api fosil kekal mekar serta melengahkan lagi tindakan iklim yang wajar.
SAM menyeru kerajaan agar tidak terpengaruh dengan dakwaan manfaat teknologi dan kewangan bersifat spekulatif yang dibawa CCUS/CCS yang mampu menjejaskan usaha negara dalam menangani perubahan iklim. Pertimbangan yang wajar dan secukupnya wajib diberikan kepada impak alam sekitar, ekonomi dan sosial akibat pelaksanaan CCS/CCUS. Pelaksanaannya tidak boleh tergesa-gesa, kerana isu liabiliti jangka panjang terhadap kerajaan boleh memakan diri.
Kami juga menggesa kerajaan untuk berhenti menyalur dan memanjangkan bantuan kerajaan, termasuk pembiayaan dan subsidi bagi CCS/CCUS dan infrastruktur yang berkaitan. Sumber awam mestilah dilaburkan dalam penyelesaian yang benar-benar mampan, termasuk inisiatif berasaskan komuniti yang memberi maslahat kepada masyarakat dan bukannya golongan pencemar.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Surat Kepada Pengarang, 18 Julai 2024