BAHAN KIMIA TOKSIK DALAM KELENGKAPAN SEKOLAH KANAK-KANAK

Bagi Kelengkapan Sekolah Bukan Toksik: Ibu Charina dan Imelda serta anak-anak mereka menyertai kempen advokasi kumpulan pemerhati toksik EcoWaste Coalition untuk menghapuskan bahan berbahaya seperti kadmium, plumbum dan ftalat dalam kelengkapan sekolah untuk mencegah dan mengurangkan pendedahan bahan kimia dalam kalangan kanak-kanak.

Ecowaste Coalition, sebuah kumpulan pemerhati toksik di Filipina, menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati semasa membeli kelengkapan sekolah dan produk kanak-kanak kerana kebanyakannya mengandungi bahan kimia berbahaya kepada kesihatan kanak-kanak.

Kumpulan itu baru-baru ini membeli 110 pelbagai kelengkapan sekolah daripada beg galas hingga klip kertas daripada kedai runcit dan penjual dalam talian di Filipina dan menganalisisnya untuk logam berat.

Inilah apa yang mereka temui.

> 18 beg galas dan beg makan tengah hari, kebanyakannya dihiasi dengan watak kartun, mempunyai 168-2,224 bps plumbum, dengan 3 barang sarat dengan plumbum dan kadmium.

> 1 beg poket mempunyai 28,230 bps plumbum yang dikesan pada cat kuning zipnya.

> 4 botol air keluli tahan karat disalut dengan cat dengan plumbum antara 3,220 bps hingga lebih 100,000 bps, jauh melebihi had 90 bps bagi plumbum dalam cat dan salutan permukaan yang serupa.

> 7 sampul plastik, fail dan penutup buku nota mengandungi kadmium daripada 130-330 bps, melebihi had 100 bps Kesatuan Eropah (EU) bagi kadmium dalam semua plastik.

> 3 baju hujan kanak-kanak mengandungi 282-317 bps kadmium, lebih tinggi daripada had 100 EU bagi kadmium dalam plastik.

Bagi Kesihatan dan Keselamatan Kanak-kanak: Ecowaste Coalition mendesak pengharaman bahan kimia berbahaya dalam kelengkapan sekolah dan produk kanak-kanak lain, dan ujian mandatori dan pelabelan produk untuk mempromosikan keselamatan kanak-kanak daripada pendedahan terhadap toksik.

> 7 jenama klip kertas bersalut vinil mengandungi 6,740-30,710 bps plumbum, melepasi had EU 1,000 bps bagi plumbum dalam plastik polivinil klorida (PVC).

> 7 pemadam dilabel PVC atau layak sebagai PVC berdasarkan ujian. (Produk berasaskan PVC lembut mungkin mengandungi pemplastik toksik yang dipanggil “ftalat”.

Kadmium dan plumbum adalah toksik dan dikaitkan dengan penurunan kemampuan kognitif, kesukaran pembelajaran dan kesan sampingan kesihatan yang lain. Ia tidak mempunyai tempat dalam perkara yang ibu bapa beli bagi persekolahan anak-anak mereka memandangkan kanak-kanak sangat sensitif dan rentan kepada pendedahan bahan kimia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), plumbum “adalah bahan toksik terkumpul yang menjejaskan pelbagai sistem tubuh, termasuk sistem neurologi, hematologi, gastrousus, kardiovaskular dan buah pinggang”. WHO juga memberi amaran “kanak-kanak amat terdedah kepada kesan neurotoksik plumbum, malah pada paras pendedahan yang agak rendah boleh menyebabkan kesan serius, dan dalam beberapa kes, kerosakan saraf yang tidak dapat dipulihkan”.

Kadmium dikategorikan oleh Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) sebagai “karsinogenik kepada manusia”. Ia juga diakui sebagai bahan toksik kepada pembiakan dan perkembangan yang dikaitkan dengan penurunan berat tubuh sewaktu lahir, kelahiran pramatang, kelahiran mati, keguguran spontan dan kecacatan kelahiran pada manusia, serta ketidakupayaan tingkah laku dan pembelajaran.

Kedua-duanya kadmium dan plumbum termasuk dalam senarai WHO daripada 10 bahan kimia dalam kumpulan bahan kimia yang menjadi kebimbangan utama kesihatan awam.

Situasi Serupa di Malaysia

Pada April tahun lepas, CAP mengeluarkan amaran yang sama selepas ujian yang dijalankan ke atas pemadam dan kertas haba dari Malaysia mendapati bahan kimia yang mengganggu endokrin di dalamnya. Kajian itu dilakukan dengan bantuan Institut Wonjin untuk Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran (WIOEH), dengan sokongan daripada Yayasan Kepentingan Awam Industri Kewangan (FIPIF), kedua-duanya di Korea.

Daripada 44 sampel kertas haba yang dihantar dari Malaysia, 27 didapati mengandungi Bisphenol A (BPA) dan 13 sampel mempunyai Bisphenol S (BPS). Dalam kajian terhadap pemadam, 26 daripada 40 sampel yang diuji mempunyai ftalat. (https://consumer.org.my/cap-endocrine-disrupting…/)

Menurut laporan itu, “Plastik, EDC, dan Kesihatan” yang diterbitkan oleh Persatuan Endokrin (ES) dan IPEN, “EDC dikaitkan dengan gangguan neurologi dan tingkah laku, obesiti dan disfungsi metabolik, gangguan pembiakan, dan kanser sensitif hormon,” dengan menyatakan bahawa “pengeluaran dan penggunaan ftalat adalah kebimbangan kesihatan awam kerana beberapa ftalat dikenal pasti sebagai EDC”.

Kanak-kanak Paling Rentan kepada Bahan Toksik Alam Sekitar

Menurut Dr Geminn Louis Apostol, Pakar kesihatan alam sekitar, Ateneo School of Medicine and Public Health – Centre for Research and Innovation (ACRI): “Kanak-kanak paling rentan kepada bahan toksik alam sekitar kerana mereka menghirup lebih banyak udara, minum lebih banyak air dan mengambil lebih banyak makanan dalam perkadaran dengan berat badan mereka dan kerana sistem dan pertahanan badan mereka masih lagi berkembang. Tingkah laku kanak-kanak yang suka memasukkan tangan ke mulut dan tangan memegang objek menyumbang kepada peningkatan pendedahan kepada bahan toksik ini, yang boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak dan juga kesihatannya di kemudian hari.”

“Untuk melindungi kesihatan anak-anak, kita perlu mengenakan pengharaman sepenuhnya terhadap bahan kimia berbahaya dalam kelengkapan sekolah dan produk kanak-kanak lain. Dan kita perlu mewajibkan bahan kimia sesuatu produk ditanda dengan jelas pada pembungkusan, bermula dengan produk yang dipasarkan untuk kegunaan kanak-kanak seperti kelengkapan sekolah dan mainan,” kata Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan EcoWaste Coalition.

Berikut adalah panduan membeli untuk ibu bapa daripada Ecowaste Coalition:

1. Baca maklumat pelabelan produk dengan teliti.
2. Elakkan plastik PVC, seperti yang mempunyai bau kimia yang kuat.
3. Jika anda sudah membeli kelengkapan sekolah plastik dengan bau bahan kimia yang kuat, letakkannya di bawah cahaya matahari secara langsung untuk menghilangkan baunya.
4. Pilih pemadam yang bertanda “bebas ftalat” atau “bebas PVC”. Elakkan pemadam wangi dan berbentuk makanan.
5. Pilih krayon dengan label “tidak toksik”.
6. Dapatkan botol air keluli tahan karat kosong, dan elakkan yang dicat melainkan diperakui “selamat plumbum”.