Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Perak menyiasat dan mendedahkan laporan terperinci mengenai aktiviti menyedut pasir di Sungai Perak dekat Teluk Intan yang menimbulkan masalah hakisan dan menjejaskan kehidupan nelayan di kawasan tersebut ketika ini.
Walaupun syarikat yang terlibat dengan operasi itu mendapat kelulusan dari pihak berkenaan namun kesannya perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera.
Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Mei 2021 mengenai perkara ini, CAP bimbang jika masalah itu dibiarkan alam sekitar dan kehidupan penduduk di kawasan berkenaan akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
Selain keruntuhan tebing Sungai Perak berlaku dengan meluas, rumah kediaman dan tanah pertanian berhampiran sungai tersebut juga mungkin turut terancam dan mengalami kemusnahan di mana kerajaan dan penduduk yang terlibat terpaksa menanggung kerugian besar akibat kejadian itu.
Berikutan operasi menyedut pasir di sini, seorang penduduk Ahmad Syawal Abu Bakar, 60, mendakwa aktiviti dan sumber pendapatan nelayan telah merosot kerana hasil tangkapan yang diperolehi semakin berkurangan.
Beliau memberitahu, laluan bot nelayan di sungai ini menjadi sempit disebabkan bot tunda pasir berlabuh di tengah sungai tersebut.
CAP meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas jika syarikat terbabit didapati melanggar peraturan di bawah undang-undang berkaitan.
CAP mencadangkan supaya semua operasi pengambilan pasir di sepanjang Sungai Perak disiasat secara menyeluruh kerana dikhuatiri mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.
Kepada mereka yang terjejas sumber pendapatan kesan dari operasi pengambilan pasir di negeri ini perlu dibayar pampasan yang setimpal dengan kerugian yang dialami.
Kenyataan Akhbar/Media, 28 Mei 2021